Siti Zarina (kanan) memeriksa seorang penumpang bas dalam operasi bersepadu bersama beberapa agensi berkaitan di Batu Berendam, Melaka, malam tadi.

MELAKA – Faktor kurangnya kesedaran penumpang dan teguran pemandu bas menjadi antara penyumbang 153 kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar yang telah diwajibkan bagi semua bas ekspres dan bas persiaran bermula 1 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, kesalahan membabitkan 135 penumpang dan 18 pemandu 109 bas persiaran dan ekspres itu dikesan menerusi Ops Khas bermula awal bulan ini sehingga semalam.

Menurutnya, dalam operasi khas tali pinggang keledar itu, sebanyak 350 bas diperiksa iaitu 191 bas ekspres dan 159 bas persiaran dan daripada jumlah itu, 109 bas dikenakan tindakan.

Siti Zarina Mohd Yusop

“Kita melihat, penumpang sendiri kurang kesedaran mungkin kerana merasakan bas besar dan akan selamat jika berlaku sebarang musibah selain pemandu bas juga masih kurang memainkan peranan.

“JPJ sudah adakan pertemuan dengan pengusaha bas sebelum ini dan berikan contoh poster yang boleh dilekatkan di dalam bas sebagai peringatan jadi sepatutnya isu tidak patuh ini tidak lagi  berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai operasi bersepadu bersama beberapa agensi berkaitan di Batu Berendam, di sini malam tadi.

Antara pengguna jalan raya yang diperiksa JPJ dalam operasi bersepadu di Batu Berendam, Melaka, malam tadi.

 

Setiap kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar akan dikompaun sebanyak RM300 mengikut peruntukan Kaedah 4 dan 4A Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 (Pindaan) 2008, Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Mengulas lanjut, Siti Zarina berkata sebanyak 745 kenderaan diperiksa dalam operasi itu dan 197 dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta 333. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast