PUTRAJAYA – Seramai 105,287 orang nelayan direkodkan bekerja di
atas bot penangkapan ikan berlesen di seluruh negara sepanjang tahun 2024.
Daripada jumlah ini, 82,464 orang atau 78 peratus erupakan nelayan tempatan, manakala selebihnya terdiri daripada tenaga kerja asing yang berdaftar secara sah.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, nelayan tempatan memainkan peranan penting sebagai tulang belakang industri perikanan negara dan penyumbang utama kepada sekuriti makanan rakyat Malaysia.
Menurutnya, sumbangan komuniti ini wajar terus dihargai kerana bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi, malah turut menjamin kelestarian sumber marin negara.
“Sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025, kita ingin mengangkat dan meraikan peranan besar yang dimainkan oleh lebih 82,000 nelayan tempatan.
“Mereka bukan sekadar pengeluar hasil laut, tetapi wira barisan hadapan yang
berjuang saban hari di lautan demi kelangsungan makanan rakyat Malaysia,” katanya.
Adnan berkata, Sabah mencatatkan bilangan nelayan tertinggi iaitu seramai 26,682 orang, diikuti Perak (16,210 orang) dan Sarawak (10,743 orang).
Negeri-negeri lain seperti Johor, Terengganu dan Selangor turut menunjukkan penyertaan yang signifikan dalam sektor ini.
Bagi tenaga kerja asing, sejumlah 22,823 orang direkodkan, melibatkan majoriti dari Thailand (8,819 orang), Indonesia (4,154 orang) dan Vietnam (1,623 orang).
Semua pengambilan ini dikawal rapi di bawah Akta Perikanan 1985 [Akta 317] dan tertakluk kepada kuota serta syarat kelulusan yang ketat.
Adnan menambah, Jabatan Perikanan Malaysia sedang memperhebat pelbagai
inisiatif ke arah mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, termasuk melalui penggunaan teknologi moden, pemerkasaan komuniti nelayan muda, serta insentif kepada pengusaha tempatan yang berdaya saing.
“HPPNK 2025 bukan sahaja menjadi platform mempromosi hasil perikanan dan
agromakanan, malah turut memperkukuh penghargaan terhadap jasa komuniti nelayan.
“Jabatan Perikanan kekal komited untuk terus membela, memartabatkan dan memperkasakan peranan nelayan dalam pembangunan negara,” ujarnya.
HPPNK 2025 akan berlangsung pada 1 hingga 3 Ogos 2025 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.
Jabatan Perikanan Malaysia akan turut serta melalui penyertaan reruai pameran yang memaparkan pelbagai inisiatif pembangunan sektor perikanan termasuk pendidikan, teknologi, inovasi dan kelestarian sumber marin.
Jabatan Perikanan Malaysia komited dalam memastikan kesejahteraan komuniti nelayan
kekal menjadi agenda utama melalui tadbir urus berasaskan prinsip mampan. Pindaan Akta 317 pada tahun 2025 turut mencerminkan iltizam kerajaan untuk memperkukuh pengurusan sumber perikanan negara ke arah masa depan yang lebih lestari dan berdaya tahan. – MalaysiaGazette
















