Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) menyampaikan ucapan ketika hadir pada Perhimpunan ‘Turun Anwar’ di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 26 JULAI 2025. (Gambar fail).

KUALA LUMPUR – Tindakan pihak berkuasa yang menggunakan Akta Hasutan terhadap peserta Perhimpunan Turun Anwar baru-baru ini disifatkan sebagai pengkhianatan terhadap janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu jelas bertentangan dengan prinsip yang dipegang Anwar sewaktu dalam pembangkang dahulu di mana beliau berjanji tidak akan menggunakan akta tersebut yang disifatkannya sebagai lapuk dan zalim.

“Kenapa ada satu tindakan terhadap mereka yang mengambil bahagian dalam perhimpunan itu. Dulu masa Anwar Ibrahim berada dalam pembangkang pun dia sudah janji bahawa dia tidak akan gunakan Akta Hasutan kerana akta ini adalah dikatakan draconian (terlalu ketat atau zalim),” katanya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut menegaskan, penggunaan akta itu hanya bertujuan menakutkan pihak lawan politik dan menyekat kebebasan bersuara rakyat.

“Sebuah akta lama yang mana tindakan diambil terhadap pihak yang menjadi musuh politik. Ia terutamanya untuk menghalang mereka dengan ugutan, lepas itu nak dibawa ke mahkamah buat pertuduhan.

“Ini bagi saya adalah satu tindakan yang amat zalim tapi telah bawa kesan buruk yang menunjukkan janji yang mereka buat tidak ditunaikan. Dia janji nak hapuskan, tapi bukan dihapus tapi digunakan,” tegas beliau.

Bekas Perdana Menteri itu turut berkata, tindakan ke atas peserta perhimpunan baru-baru ini menunjukkan wajah sebenar kerajaan yang tidak konsisten dan menindas suara rakyat.

“Ini mereka yang sertai perarakan kena ambil tindakan,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru agar pihak polis tidak terus tunduk kepada tekanan politik dan menghentikan penggunaan akta yang bersifat menekan kebebasan rakyat.

“Saya minta supaya pihak polis jangan terikut-ikut dan sepatutnya dihentikan dan bukan setakat ini tapi masa hadapan juga,” ujarnya.

Muhyiddin menambah, undang-undang seperti Akta Hasutan harus dihentikan penggunaannya dan sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang, pihak berkaitan wajar diberikan nasihat terlebih dahulu dan bukannya terus dikenakan pendakwaan yang memberi kesan buruk kepada individu dan sistem keadilan negara.

“Jangan guna lagi akta seperti ini yang dianggap zalim dan draconian supaya pihak yang terlibat tidak diambil tindakan yang membawa mudarat kepada individu dan sistem perundangan negara kita,” katanya.

Pada 28 Julai lalu, aktivis Bersatu, Chegubard dan Ikhwan telah ditahan, namun dibebaskan keesokan harinya selepas permohonan reman Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditolak oleh Mahkamah Majistret.

Manakala dua lagi pemimpin Armada, iaitu Syafiq Aziz yang merupakan Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam dan Furqan Hakimi, Setiausaha Kerja Armada Bersatu Perak telah ditahan semalam.

Mereka kemudian dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman selama empat hari oleh pihak polis.

Bagaimanapun mahkamah menolak permohonan reman tersebut dan membebaskan kedua-dua individu terbabit serta-merta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Tp Muhyidin tak sedar ker dia bersekongkol dgn Mahathir yg lebih zalim dgn penjara tanpa bicara ISA. Patut Muhyidin berterima kasih kpd DS Najib yg hapuskan ISA..Mahathir ISA lebih zalim daripada Akta Hasutan…

Comments are closed.