MELAKA – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong daripada DAP, Damian Yeo Shen Li menyifatkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berjaya membawa transformasi dalam pentadbiran kerajaan negeri menerusi pendekatan yang lebih inklusif demi kesejahteraan rakyat.
Menurut Ketua Biro Ekonomi DAP Melaka itu, langkah melibatkan pembangkang sebagai sebahagian daripada proses pentadbiran negeri merupakan satu pendekatan yang bijaksana.
“Pendekatan Ketua Menteri Melaka dalam memberi ruang kepada pembangkang untuk turut bersuara dalam Dewan Undangan Negeri merupakan langkah bijaksana yang berjaya membentuk sebuah kerajaan negeri yang kukuh dan inklusif.
“Pada akhirnya, apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Ab Rauf memberi manfaat kepada rakyat Melaka,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Bukit Baru di sini hari ini.
Damian berkata, Ab Rauf dilihat memahami konsep serta peranan pembangkang sebagai mekanisme semak dan imbang, sekali gus mencerminkan kematangan beliau dalam berpolitik.
“Sikap menghormati peranan pembangkang sebagai mekanisme semak dan imbang mencerminkan kematangan politik pentadbiran negeri.
“Ia secara tidak langsung membolehkan pemimpin bekerjasama demi kepentingan Melaka tanpa terlalu memikirkan perbezaan parti politik,” katanya.
Menurutnya, pendekatan sedemikian turut membantu memastikan dasar yang diputuskan kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.
“Pendekatan tersebut mewujudkan kestabilan yang membolehkan dasar kerajaan dilaksanakan dengan lebih lancar, khususnya dalam usaha memulihkan ekonomi, menangani kos sara hidup dan meningkatkan taraf hidup rakyat selepas pandemik COVID-19,” ujarnya.
Damian yakin Melaka berada pada landasan yang tepat sekiranya pendekatan pentadbiran yang diamalkan ketika ini diteruskan pada masa hadapan.
“Kepimpinan Ab Rauf berorientasikan kepentingan negeri dan rakyat, sekali gus merupakan hala tuju yang tepat ketika politik semasa semakin toksik serta dibayangi sentimen kaum dan agama,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















