SHAH ALAM – Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi membidas kenyataan bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo yang mendakwa laungan ‘Turun Anwar’ akan terus menjadi mantera rakyat sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jatuh.
Khir sebelum ini menyatakan rakyat tidak akan berhenti setakat Himpunan Turun Anwar Sabtu lalu malah mengumpamakan semangat peserta himpunan itu sebagai tsunami yang akhirnya akan membawa kemenangan rakyat.
Mengulas kenyataan tersebut, Saifuddin yang juga Timbalan Setiausaha Agung Keadilan menegaskan, hakikatnya Khir Toyo adalah antara contoh pemimpin yang tidak layak untuk mendabik dada bercakap soal semangat rakyat dan integriti kepimpinan.
“Khir Toyo adalah Menteri Besar Selangor pertama yang dihumban keluar melalui pilihan raya selepas terpalit pelbagai skandal termasuk biadab terhadap penjawat awam dalam kontroversi serahan penyapu,” katanya.
Saifuddin turut mengingatkan Khir Toyo disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan sehingga membawa hukuman penjara selama 12 bulan.
“Lebih memalukan, gelaran Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang dianugerahkan kepadanya juga ditarik balik oleh DYMM Sultan Selangor pada 30 September 2015 kerana kesalahan rasuah,” tegasnya.
Menurut Saifuddin, individu seperti Khir Toyo tidak sepatutnya mendakwa dirinya memahami atau membawa semangat rakyat sedangkan sejarah sendiri membuktikan pentadbirannya ditolak oleh rakyat kerana integriti yang tercalar.
“Maka tidak perlulah menjadi seperti ‘menepung tiada berberas’ yang bermaksud banyak bercakap tetapi tiada faedahnya. Kalau benar peduli pada semangat rakyat, belajarlah daripada sejarah jatuhnya sendiri,” ujarnya.
Khir Toyo sebelum ini mendakwa Anwar ketika ini juga dilihat bersendirian dalam menghadapi gelombang suara rakyat tersebut sekaligus mencetuskan tanda tanya berapa lama lagi beliau mampu bertahan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Laungan `Turun Anwar’ akan terus jadi mantera rakyat – Khir Toyo
















