MELAKA – Pasangan kekasih doktor di Hospital Melaka yang disyaki berkhalwat di rumah sewanya di Taman Semabok Perdana, Semabok, di sini, Selasa lalu berdepan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem bagaimanapun berkata, pihaknya setakat ini masih menunggu hasil siasatan daripada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sebelum sebarang tindakan diambil terhadap pasangan kekasih berusia 26 tahun itu.
“Jika siasatan JAIM mendapati ada kesalahan, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) akan ambil tindakan tatatertib terhadap pasangan ini dan ya (termasuk dibuang kerja).
“Ketika ini, kita masih menunggu siasatan JAIM dan kedua-duanya masih bertugas di hospital,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengetuai Operasi Penguatkuasaan Akta 446 di Tambak Paya, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan JKNM terhadap pasangan kekasih berkenaan yang disyaki berkhalwat di dalam rumah sewa doktor lelaki terbabit pada jam 3.25 petang Selasa lalu.
Ketika serbuan, imam masjid, polis, media dan penduduk taman terpaksa menunggu hampir 20 minit ekoran kedua-duanya enggan memberikan kerjasama dan terus bersembunyi di dalam rumah teres setingkat itu.
Pasangan itu bagaimanapun terpaksa membuka pintu rumah selepas sepasukan penguat kuasa JAIM tiba dan berjaya menahan mereka pada jam 3.43 petang.
Bagaimanapun ketika membuka pintu rumah teres setingkat itu, doktor lelaki terbabit dilihat cuba mempersoalkan tindakan penguat kuasa untuk memeriksa kediaman disewa bersama dua lagi rakannya yang tiada ketika serbuan. – MalaysiaGazette
















