KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) hadir pada saat negara berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan gangguan rantaian bekalan yang mencabar daya saing dan kesejahteraan rakyat.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sebagai pelan pembangunan lima tahun, RMK-13 bukan sekadar dokumen ekonomi tetapi mencerminkan komitmen kerajaan untuk menjamin kesejahteraan rakyat, memacu pertumbuhan yang inklusif dan saksama serta memastikan tiada rakyat yang terpinggir.
Menurut beliau, RMK13 memberikan fokus strategik kepada pertumbuhan ekonomi mampan melalui pendekatan berteraskan penciptaan nilai, pendigitalan serta teknologi termaju seperti kecerdasan buatan (AI).
“Saya amat tertarik dengan RMK13 yang memberi penekanan kepada pemacuan ekonomi melalui industri berimpak tinggi atau high growth, high value, dalam sektor strategik.
“Pendekatan ini bukan sahaja memastikan pertumbuhan yang mampan, tetapi juga inklusif dan saksama,” katanya pada sidang media selepas pembentangan RMK13 di Parlimen di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut gembira kerana RMK13 memberi perhatian kepada sektor pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) khususnya usaha penyelarasan gaji minimum melebihi prasyarat sedia ada bagi graduan TVET.
“Langkah memperkenalkan gaji premium berasaskan keterampilan dan kemahiran akan mengubah paradigma tenaga kerja negara daripada bergantung kepada buruh tidak mahir kepada buruh berkemahiran tinggi.
“Ini memberi nilai tambah kepada ekosistem pendidikan dan meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam pasaran pekerjaan,” katanya.
Ahmad Zahid menambah, sebanyak 132 inisiatif yang digariskan dalam resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera Putra 35 telah diterapkan ke dalam RMK13 menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh agenda pembangunan ekonomi Bumiputera secara menyeluruh.
Ahmad Zahid memberitahu, pelaksanaan inisiatif Putra 35 dalam RMK13 akan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat Bumiputera di luar bandar, pinggir bandar dan bandar, termasuk komuniti di Sabah dan Sarawak.
Beliau juga memberi penekanan terhadap keperluan perancangan jangka panjang dalam pengurusan bencana negara yang kini turut berada di bawah bidang kuasa kementeriannya.
“Langkah ini penting untuk menyediakan mitigasi yang lebih holistik terhadap bencana alam yang selama ini ditangani secara ad hoc. Perancangan strategik ini amat saya alu-alukan,” katanya.
Sementara itu, RMK13 dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini sebagai pelan pembangunan lima tahun negara yang baharu bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Pelan ini memberi tumpuan kepada transformasi ekonomi, kelestarian alam sekitar, keterangkuman sosial dan pengukuhan tadbir urus. – MalaysiaGazette
















