@malaysiagazette Anggota Polis Ditikam Ketika Rondaan Di Pudu Seorang anggota polis cedera selepas ditikam seorang lelaki ketika menjalankan pemeriksaan di Jalan Yew, Jalan Pudu, di ibu negara tengah hari tadi. MGViral MalaysiaGazette Video : Media Sosial
KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki berusia 56 tahun yang disyaki menikam anggota polis hingga parah dalam kejadian di Pasar Pudu, Jalan Yew di sini, tengahari tadi.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan berkata, suspek dijangka direman esok bagi siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan kerana suspek dengan sengaja cuba membunuh menggunakan senjata serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamed Usuf berkata, pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemukan sebilah pisau, tiga paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah.
Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa bersama empat anggota polis lain sedang menjalankan pemeriksaan ke atas suspek.
Bagaimanapun, suspek bertindak menikam mangsa di bahagian perut dengan menggunakan pisau sebelum melarikan diri.
Suspek bagaimanapun berjaya ditangkap tidak jauh dari lokasi kejadian.
“Anggota polis yang parah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Mohamed Usuf berkata, orang awam yang menyaksikan kejadian itu diminta supaya tampil membantu siasatan lanjut pihaknya dengan menyalurkan sebarang maklumat kepada pegawai penyiasat kes, ASP Mohd Firdaus Sharil di talian 012-3388164.
Katanya, maklumat juga boleh disalurkan melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan kejadian itu yang berlaku kira-kira jam 12 tengahari tadi. -MalaysiaGazette















