KUALA LUMPUR – Tiada perbincangan ke arah menaikkan harga gula buat masa ini, kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Tambah beliau, harga gula akan kekal selagi kerajaan terus membantu syarikat pengeluar gula utama negara antaranya MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) yang terpaksa berdepan kenaikan berkali ganda harga gula mentah di pasaran global.
Justeru katanya, bantuan kerajaan itu bukan sahaja menggembirakan orang ramai, malah turut menggembirakan golongan peneroka FELDA yang merupakan pemegang saham dalam syarikat gula tersebut.
“Dalam tempoh ini, tiada perbincangan untuk menaikkan harga gula selagi mana kerajaan terus membantu dalam memberikan insentif kepada syarikat gula.
“Tempoh bantuan itu terpulang kepada kerajaan, tetapi sehingga hari ini, kerajaan masih memberi insentif kepada syarikat gula,” katanya sebagai mengulas mengenai isu tersebut.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Festival FGV bersempena Hari Peneroka FELDA 2025 di Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi FGV, Tan Sri Rastam Mohd Isa, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Fakhrunniam Othman.
Menurut Ahmad Shabery lagi, cadangan untuk menaikkan harga gula sebelum ini dibuat susulan kenaikan harga gula mentah yang berkali ganda, sehingga menyebabkan harga sebenar jauh melangkaui harga siling yang ditetapkan kerajaan iaitu RM2.85 sekilogram.
Ujarnya, keadaan itu menyebabkan MSM mengalami kerugian sehingga menjejaskan warga peneroka.
Tambah beliau, golongan peneroka merupakan pemegang saham dalam FGV Holdings Berhad (FGV) dan Koperasi Permodalan Felda Bhd (KPF) yang memegang saham utama dalam MSM.
“Ada isu sebelum ini, di mana harga gula mentah sangat tinggi, tetapi kerajaan mengawal harga jualan di pasaran. Ini menyebabkan MSM mengalami kerugian. Bila MSM rugi, pemegang saham juga akan rugi, termasuklah para peneroka.
“Pernah satu ketika dahulu, bagi setiap satu kilogram gula yang dijual di pasaran, sebanyak RM1 disubsidi oleh peneroka. Ini menyebabkan dividen yang diperoleh oleh peneroka berkurangan dan menyukarkan kehidupan mereka.
“Namun begitu, menaikkan harga gula pula sudah tentu tidak menyenangkan ramai pihak kerana gula bukan sahaja digunakan dalam minuman, tetapi juga dalam pelbagai makanan,” jelasnya.
Sebelum ini, MSM mencadangkan kepada kerajaan supaya menaikkan harga gula paket kasar daripada RM2.85 sekilogram kepada RM3.85 sekilogram, selaras dengan peningkatan kos pengeluaran.
Syarikat itu mengemukakan cadangan tersebut kepada kerajaan bagi membolehkan kenaikan harga sekilogram gula kasar sebanyak RM1. – MalaysiaGazette
















