KUANTAN – Pas Pahang menjunjung titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar tidak berpolitik sepanjang masa.
Disebabkan itu, Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Rosli Abdul Jabar berkata, Pas negeri ini sentiasa memantau gerak kerja semua wakil rakyat agar sentiasa turun padang menjenguk rakyat untuk mengetahui keadaan rakyat serta cuba menangani isu-isu rakyat dengan sebaik mungkin.
“Pas Pahang juga menyahut saranan dari Tuanku untuk bersedia duduk semeja dengan pihak kerajaan.
“Bagi Pas Pahang, ini adalah saranan yang sangat baik dan Pas Pahang sentiasa bersedia untuk duduk semeja dengan pihak kerajaan dan sama-sama berbincang menyelesaikan isu-isu rakyat dan memajukan negeri Pahang tercinta ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur itu, sebagai wakil rakyat pembangkang, Pas Pahang juga berperanan sebagai ejen semak dan imbang terutamanya semasa persidangan Dewan Undangan Negeri.
Justeru, katanya, tindakan mereka mengutarakan isu-isu rakyat yang menimbulkan ketegangan kadangkala disalah erti pihak kerajaan sebagai sentiasa berpolitik.
“Pas Pahang juga mengucapkan terima kasih kerana Tuanku telah membangkitkan buat kesekian kalinya berkaitan dengan peruntukan.
“Sememangnya ini adalah diantara perkara yang sangat penting untuk kami supaya dapat melaksanakan tugasan dengan lebih selesa,” tambahnya lagi.
Beliau mengulangi harapannya agar kerajaan dapat mempertimbang mengenai isu peruntukan tersebut dengan sewajarnya kerana katanya kedudukan sebagai wakil rakyat pembangkang juga adalah pilihan rakyat. – MalaysiaGazette
















