KUALA LUMPUR – Datuk Isham Jalil meminta penjelasan daripada kerajaan berhubung pembelian tambahan 30 buah pesawat Boeing sebagai salah satu syarat untuk mengurangkan tarif Amerika Syarikat kepada Malaysia.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berpendapat, pendekatan tersebut tidak memberi pulangan setimpal dan dilihat seolah-olah membazirkan wang rakyat.
“Kalau macam itu, baik tidak payah pergi runding ke Amerika Syarikat.
“Membazir duit rakyat pergi buat rundingan, baik buat seperti Indonesia, telefon, beli Boeing dapat pengurangan tarif,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Menurut Isham, Malaysia sebelum ini telah pun membeli 50 buah pesawat Airbus ketika lawatan ke Perancis, dan kini terpaksa berdepan desakan untuk membeli kapal terbang buatan Boeing.
Katanya, rakyat berhak tahu sama ada pembelian tersebut ditanggung oleh syarikat swasta sepenuhnya atau melibatkan penggunaan dana kerajaan.
“Siapa yang bayar? Apakah Malaysia Airlines atau Malaysia Aviation Group atau yang melibatkan dana kerajaan atau apa? Kamu perlu jelaskan perkara ini,” katanya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN
Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini berkata, Malaysia melakukan pembelian tambahan 30 buah pesawat Boeing berjumlah AS$9.5 bilion yang merupakan antara komitmen dalam memperkukuh hubungan perdagangan dua hala yang lebih seimbang.
Langkah itu susulan rundingan antara kedua-dua negara yang membawa kepada pengurangan tarif import AS ke atas produk Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus kuatkuasa 1 Ogos.
Tengku Zafrul turut berkata pembelian pesawat berkenaan merupakan sebahagian daripada beberapa komitmen perdagangan Malaysia dalam rundingan tersebut.
Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia Aviation Group (MAG) telah menandatangani tempahan 30 buah pesawat Boeing 737, terdiri daripada 18 unit model 737-8 dan 12 unit 737-10s, yang dijangka diserahkan secara berperingkat menjelang 2030. – MalaysiaGazette
















MAG announced the purchase since last March 2025 laa..