KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada hari ini menganjurkan Program Kayuhan Sejuta Kasih PTPTN Tahun 2025.
Program itu telah mendapat perkenan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang turut berangkat menyempurnakan Perlawanan Persahabatan Woodball Piala PTPTN 2025.
Penganjuran program kali kedua ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN kepada masyarakat bagi membantu golongan yang memerlukan, katanya dalam kenyataan.
Program Kayuhan Sejuta Kasih PTPTN melibatkan lebih 100 orang peserta yang terdiri daripada Raja Muda Perlis, warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Pelepasan peserta kayuhan bertempat di Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, UiTM Cawangan Perlis.
Program berkenaan mendapat kerjasama daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan antaranya Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis, Jabatan Kerja Raya Negeri Perlis, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Jabatan Penerangan Negeri Perlis, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, Majlis Perbandaran Kangar, Perlis Volunteer Action Community (PVAC) serta pelbagai pihak yang berkaitan.
Raja Muda Perlis turut mengurniakan sumbangan kotak makanan kepada tiga keluarga asnaf selain sumbangan akaun Simpan SSPN Prime kepada tiga orang anak asnaf semasa Program Kayuhan Sejuta Kasih PTPTN.
Selain itu, PTPTN turut menyampaikan sumbangan kepada Maahad Tahfiz Al-Hikmah merangkumi wang tunai dan sumbangan akaun Simpan SSPN Prime kepada 60 orang pelajar.

Penabungan melalui Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada masyarakat Malaysia seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif dan patuh syariah.
Dengan ciri-ciri istimewa ini, Simpan SSPN tidak sekadar tabung pendidikan, malah menjadi instrumen simpanan yang dijamin Kerajaan dan bermanfaat untuk masyarakat MADANI.
Sebagai usaha menyokong akses pendidikan tinggi, turut diadakan penyampaian sumbangan Bantuan Lestari Siswa MADANI dengan jumlah keseluruhan bernilai RM17,500.
Sumbangan telah diberikan kepada 35 orang pelajar kurang berkampuan dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS).
Setiap pelajar yang layak akan menerima bantuan sara hidup sebanyak RM500 secara one off yang akan disalurkan ke akaun bank pelajar.
Pada program yang sama, pemenang Perlawanan Persahabatan Woodball Piala PTPTN 2025 yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar UiTM Cawangan Perlis turut diraikan sebagai tanda penghargaan atas penyertaan mereka.
PTPTN komited dalam membina hubungan strategik dengan pelbagai pihak bagi melaksanakan program CSR dan menyerbarluas manfaat Simpan SSPN yang memberi manfaat kepada komuniti. – MalaysiaGazette
















