SUBANG – Empangan Bukit Merah, Gunung Semanggol, Perak kini ditahap kritikal apabila penggunaan air hanya tinggal 12.21 peratus dengan paras kedalaman air iaitu 19.80 kaki sejak Monsun Barat Daya melanda negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, situasi itu sekali gus menjejaskan penggunaan untuk ribuan penduduk terutama pengairan sawah padi, belakan domesitik, perikanan serta mitigasi banjir di kawasan sekitar.
“Mengikut laporan, kawasan persekitaran seperti sawah padi dan keperluan air domestik mengalami keadaan sangat memerlukan bantuan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk pembenihan awam dilakukan.
“Laporan daripada MetMalaysia memperlihatkan kesahihan perkara itu dan kita telah membawa 6,000 liter larutan garam Natrium Klorida di dalam empat tangki besar untuk disemburkan di sekitar kawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyertai Operasi Pembenihan Awan (OPA) dengan menaiki sebuah pesawat milik TUDM jenis C-130 Herculas di Pangkalan Udara TUDM Subang, di sini hari ini.

Operasi bermula jam 11.30 pagi itu turut disertai Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Abdul Halim Hamzah, Timbalan Ketua Pengarah MetMalaysia (Strategik & Teknikal), Mohd Zunaidi Mat.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, operasi pembenihan awan yang dilaksanakan itu berjaya apabila hujan lebat berlaku 45 minit selepas operasi tersebut.
“Kita laksanakan operasi penyemburan larutan garam ini pada awan Kumulus Menara yang bergerak dari arah Barat dan Selat Melaka menuju ke kawasan utara Semenanjung Malaysia.
“Sebelum saya kembali ke Pangkalan Udara TUDM Subang, (kami terima) laporan daripada Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) 45 minit setelah semburan itu dilakukan hujan lebat telah berlaku.
“Jadi usaha saintifik dan dengan pertolongan Allah SWT, kita harap pengairan sawah padi di kawasan itu, perikanan dan mitigasi air dapat diatasi,” ujarnya lagi.

Terdahulu, media melaporkan paras air di Empangan Bukit Merah kini berada pada tahap kritikal susulan musim kering berpanjangan yang melanda negeri Perak sekali gus memaksa pelaksanaan catuan bekalan air ke kawasan sawah di Rancangan Pengairan Kerian. – MalaysiaGazette
















