KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang meneliti dengan mendalam laporan penuh siasatan awal kematian pelajar sekolah agama, Zara Qairina Mahathir.
Jabatan itu dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan penuh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Cawangan Sabah semalam dan di Ibu Pejabat Putrajaya, hari ini.
“Jabatan ini sedang meneliti dengan mendalam laporan penuh siasatan awal itu merangkumi semua aspek undang-undang dan fakta yang dikemukakan bagi memastikan setiap keputusan yang diambil berlandaskan undang-undang serta memenuhi prinsip keadilan.
“Sebarang keputusan berkaitan kes ini akan dimaklumkan setelah proses penelitian laporan penuh siasatan awal tersebut selesai dilaksanakan,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan dalam laman Facebook lewat petang ini.
Kenyataan itu turut menyatakan, AGC menghargai kerjasama semua pihak dan menggesa orang awam untuk mengelak daripada membuat sebarang pernyataan bersifat spekulatif yang boleh menjejaskan proses siasatan dan keadilan.
Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, polis sudah melengkapkan siasatan berhubung kematian Zara Qairina, 13, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dakwaan buli di Papar, Sabah, pada 16 Julai lalu.
Beliau berkata, siasatan sudah selesai dan keterangan daripada kira-kira 60 saksi telah direkodkan bagi memberi pencerahan mengenai kematian pelajar sekolah agama itu.
Allahyarham yang merupakan pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, didakwa terjatuh dari tingkat tiga dan ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.
Dia disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.
Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, polis tidak menolak kemungkinan buli mungkin memainkan peranan dalam kejadian itu. – MalaysiaGazette
















