Mohd Zain dan Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam menyerahkan motosikal roda tiga kepada penerima di bandar Ghorband dalam Provinsi Parwan, utara Kabul, Afghanistan.

JOHOR BAHRU – Walaupun perang di rakyat Afghanistan sudah berakhir pada 2021 tetapi meninggalkan kesan psikologi, derita hidup dan malapetaka kemanusiaan yang dahsyat serta tidak tergambarkan.

Afghanistan hancur selepas Amerika Syarikat (AS) merobeknya selama kira-kira dua dekad sebelum kalah dan berundur tetapi meninggalkan anak-anak yang menjadi yatim piatu, ramai hidup melarat malah diancam kelaparan dan kebuluran.

Perjuangan hidup rakyat Afghanistan yang dahulunya menentang kezaliman AS tetapi kini berjuang untuk kelangsungan hidup, mendapat simpati Humanitarian Care Malaysia (MyCare) dan Pasaraya Econsave Cash & Carry.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kemunsiaan dan pasar raya berkenaan memberikan ‘kail’ dan bukan ikan kepada penduduk negara itu menerusi Projek Pemerkasaan Ekonomi Keluarga.

Penasihat MyCare Johor, Dr Mohd Zin Kandar berkata, projek memperkasakan ekonomi itu bermatlamat membantu penduduk miskin di Afghanistan menyara kehidupan keluarga.

“Projek ini adalah salah satu fokus misi bantuan kemanusiaan yang membabitkan kerjasama Econsave dan MyCare bagi meringankan beban keluarga yang berdepan kesusahan dan kemiskinan di negara-negara yang dilanda konflik dan peperangan seperti di Afghanistan.

“Projek ini bertujuan mewujudkan peluang kepada keluarga miskin terutama yang terjejas dengan konflik dan peperangan bagi membolehkan mereka menjana pendapatan kekal dan stabil dalam bidang-bidang yang bersesuaian dengan minat serta kebolehan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Zin mengetuai Misi Kemanusiaan Afghanistan MyCare-Econsave 2025 di nagara tersebut pada 14 hingga 24 Julai lalu yang menyampaikan bantuan kira-kira RM1 juta daripada rakyat Malaysia.

Beliau berkata, dua projek perintis di bawah Projek Pemerkasaan Ekonomi Keluarga dilaksanakan iaitu Projek Motosikal Roda Tiga dan Projek Kedai Runcit.

Menurutnya, lima buah motosikal roda tiga berkuasa 200cc yang sudah siap diubah suai telah diserahkan kepada lima penerima di bandar Ghorband dalam Provinsi Parwan di utara Kabul.

“Setiap unit motosikal yang dilengkapi ruang kargo di belakangnya itu bernilai RM10,850 membabitkan jumlah keseluruhan peruntukan yang disediakan Econsave-MyCare bagi projek ini ialah sebanyak RM54,200,” katanya.

Pemilihan penerima bantuan menerusi projek perintis itu katanya, dilakukan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Afghanistan dan NGO negara berkenaan, Human Assistance Society (HAS).

Jelasnya, pemilihan dan tapisan yang ketat dilakukan HAS, lima penerima motosikal roda tiga yang terpilih adalah pemuda yang mengambil alih tugas ketua keluarga setelah bapa mereka terkorban dalam konflik pencerobohan tentera AS di Afghanistan.

“Kebanyakan daripada mereka adalah anak sulung kepada keluarga masing-masing dan kini terpaksa menyara ibu dan adik beradik lain.

“Kenderaan ini akan digunakan bagi mengambil upah mengangkut barang-barang oleh peniaga-peniaga atau barangan pertanian dari pedalaman untuk dihantar ke pekan Ghorband dan sekitarnya,” katanya.

Menerusi Projek Kedai Runcit pula katanya, tiga keluarga miskin dipilih untuk menerima bantuan modal daripada MyCare-Econsave bagi memulakan perniagaan yang dijangka boleh menjana pendapatan stabil dan berterusan bagi menyara keluarga.

Mohd Zin berkata, dalam Misi Kemanusiaan Afghanistan 2025 itu, MyCare-Econsave melancarkan projek rintis kedai runcit untuk tiga keluarga di bandar Ghorband.

Dengan peruntukan RM7,230 diberikan kepada setiap pekedai ujarnya, boleh menyediakan perabot asas seperti rak kedai, barang-barang jualan dan sewa kedai untuk tempoh empat bulan.

“Penerima bantuan perlu mengurus jualan seharian untuk dikumpul dan digunakan bagi membeli semula stok barang-barang niaga serta membayar sewa bulanan mulai bulan kelima. Keuntungan bersih daripada jualan itu boleh digunakan bagi menyara keluarga masing-masing,” katanya.

MyCare dan Econsave merayu rakyat Malaysia agar terus menyumbang kepada tabung kemanusiaan negara yang dilanda konflik menerusi derma dalam tabung yang disediakan di semua pasar raya Econsave seluruh negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast