KUALA LUMPUR – Thailand dan Kemboja komited untuk menghentikan konflik di sempadan kedua-dua negara terbabit.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, komitmen itu dizahirkan semasa perbincangan peringkat sekretariat yang berlangsung di Wisma Perwira, di sini, menjelang mesyurarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Luar Biasa.
Katanya, perbincangan yang dipengerusikan Kemboja, turut membabitkan term of reference mengenai penubuhan Pasukan Pemerhati Atase Pertahanan ASEAN (AMT).
Jelas beliau, AMT akan berperanan memastikan Thailand dan Kemboja mematuhi gencatan senjata yang dipersetujui pemimpin kedua-dua negara di Seri Perdana pada 28 Julai lepas.
“Sekarang mereka sedang membincangkan prasyarat untuk AMT… sekiranya semua berjalan lancar, kita akan mendapat kata putus yang amat positif pada Khamis ini,” katanya kepada pemberita selepas bertemu kedua-dua ketua sekretariat hari ini.
Mesyuarat peringkat sekretariat itu disertai 54 wakil dari Thailand dan Kemboja.
Menteri Pertahanan Kemboja Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand Jeneral Natthaphon Narkphanit, Panglima Angkatan Tentera serta wakil kerajaan kedua-dua negara dijangka menyertai mesyuarat GBC Thailand-Kemboja pada Khamis ini.
Mohd Nizam berkata Malaysia tidak menyertai mesyuarat sekreatariat selama tiga hari itu, yang bermula hari ini, dan hanya berperanan sebagai pemudah cara sebelum mesyuarat GBC Luar Biasa.
Beliau berkata mesyuarat itu sepatutnya berlangsung di Phnom Penh, Kemboja tetapi Thailand meminta Malaysia menjadi tuan rumah.
“Hanya kedua-dua pihak terlibat untuk mencapai kata sepakat yang telah digariskan bagi memahami TOR, AMT dan sebagainya… kita hanya memudah cara hala tuju perjalanan dan menekankan perkara yang perlu dicapai sebelum Khamis ini.
“Pada GBC nanti, baru kita bersama-sama Amerika Syarikat dan China dijemput menjadi pemerhati… selepas GBC, akan ada perbincangan informal melibatkan Menteri Pertahanan dan Menteri Luar ketiga-tiga negara iaitu Thailand, Kemboja dan Malaysia,” katanya.
Mohd Nizam juga berkata antara perkara penting dalam mencapai kedamaian ialah gencatan senjata sepenuhnya, tiada penambahan tentera ke sempadan, memberikan bantuan perubatan, tiada serangan tidak langsung dan tidak mengeluarkan kenyataan bercanggah.
Thailand dan Kemboja bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata yang berkuat kuasa pada tengah malam 28 Julai lepas menerusi mesyuarat khas di Malaysia yang membawa kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu ke meja rundingan susulan ketegangan yang semakin memuncak.
Mesyuarat itu, yang dipengerusikan Anwar di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, menyaksikan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai bersetuju terhadap perjanjian gencatan senjata selepas beberapa minggu ketegangan antara kedua-dua negara meningkat.
Sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum ditandai secara rasmi sudah lama menjadi isu sensitif antara kedua-dua negara serta beberapa kali mencetuskan ketegangan dan menjejaskan hubungan diplomatik.
Ketegangan memuncak pada 28 Mei apabila berlaku pertempuran di kawasan sengketa Preah Vihear, menyebabkan seorang tentera Kemboja terkorban. -MalaysiaGazette
















