KUALA LUMPUR – Diberi kepercayaan menjadi duta produk, pelakon Putra Amaris nekad berbakti dengan meneruskan kerja kebajikan yang sudah dimulakannya sejak beberapa tahun lalu demi berkongsi rezeki.
Kali ini, sebagai duta syarikat pengeluar produk pencuci Biofitrah Sdn. Bhd. (Biofitrah), dia membantu mengumpul dana bagi memenuhi keperluan pesakit kanser kanak-kanak bawah kelolaan Pertubuhan Kebajikan Adina (Adina).
Antara inisiatif yang diambil mereka adalah memberi peluang kepada masyarakat membeli sambil menderma menerusi produk pencuci dan pelembut pakaian bawah jenama PowerRein dan SoftRein.
Pemilik nama sebenar, Amran Ismail itu menganggap peluang tersebut mampu membuka lebih banyak pintu dan ruang berbahagi rezeki kepada orang sekelilingnya
“Saya berharap program amal ini mendapat sambutan menggalakkan sekaligus meringankan beban anak-anak yang menghidap kanser dan ini merupakan tanggungjawab yang saya galas bersama Biofitrah.
“Apa yang kami lakukan ini bukanlah kerana bisnes semata-mata tetapi juga sumbangan amal yang berterusan. Untuk itu, kami amat memerlukan sokongan daripada mana-mana syarikat korporat dan masyarakat bagi menjayakan program ini,” katanya pada majlis memorandum persefahaman (MoU) antara Biofitrah Adina dan Muslim Care.
Ia diadakan sempena Majlis Pelancaran dan Perasmian Pembukaan Kilang Kedua Biofitrah di Nilai, Negeri Sembilan yang disempurnakan oleh mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri baru-baru ini.

Sebelum ini, Putra Amaris menganjur program Kongsi Rezeki: Tahfiz Berselawat 2025 pada bulan bulan Ramadan lalu dan ia berlangsung sehingga akhir tahun ini.
Program yang pada awalnya bertujuan mengumpul dana bagi pembangunan infrastruktur institusi tahfiz di Kuala Lumpur itu turut diluaskan dengan membantu golongan kurang bernasib baik.
Mengulas lanjut, Amaris juga akui tidak dapat menahan sebak apabila bertemu dengan kanak-kanak kanser dalam siri lawatan ke hospital yang disifatkannya insan yang kuat dan tabah berhadapan ujian hidup.
“Pada masa sama, ini juga ujian buat kita yang dilahirkan sempurna, sama ada kita bersyukur atau tidak. Adakah kita peka dan prihatin terhadap insan-insan lain yang memerlukan bantuan kita,” kata bapa kepada dua anak itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Biofitrah, Aman Rasyidi Mohd Noor pula berkata, pihaknya yang sering menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat atau CSR bermula sejak tiga tahun lalu.
“Cuma sebelum ini kami banyak bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) misalnya membantu mangsa banjir. Sejak tahun lepas, kami mula bersama Amaris bukan sahaja sebagai duta, tetapi juga ‘tulang belakang’ kami dalam menganjurkan program-program amal.
“Saya percaya, dalam kita berniaga, pasti ada bahagian orang lain di mana setiap pembelian Softrein RM1 akan diserahkan kepada Adina manakala setiap pembelian PowerRein RM1 akan disumbangkan kepada Muslim Care.
“Insya-Allah, selepas ini kami juga merancang untuk adakan program CSR artis-artis veteran yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Adina, Nurdieana Mohd Mardzi, akui terharu dan berterima kasih kasih dengan usaha yang dijalankan bagi membantu pesakit kanser kanak-kanak bawah kelolaannya.
Ketika ini, seramai lebih 350 pesakit kanser kanak-kanak bernaung bawah Adina.
Bagi yang ingin membuat sumbangan untuk tabung bantuan lampin pakai buang dan susu bernutrisi kanak-kanak kanser, boleh berbuat demikian menerusi nombor akaun 8605749460 – CIMB Bank (Pertubuhan Kebajikan Adina). – MalaysiaGazette

















inisiatif membantu golongan yg memerlukan oleh seorang celebriti amatlah terbaik di saat saat sukar begini