Kelantan The Real Warriors.

KUALA LUMPUR – Kelantan The Real Warriors (TRW) mendapat tonik baharu menjelang sepak mula Liga Super 2025/2026 apabila kelab itu akhirnya bebas daripada sekatan perpindahan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Presiden Kelantan TRW, Tan Sri Annuar Musa yang mengesahkan perkembangan itu  memberitahu, kes terakhir daripada sembilan sekatan yang dikenakan sebelum ini sudah mendapat pelepasan rasmi menerusi sepucuk surat dikeluarkan FIFA, semalam.

Susulan pelepasan itu, bermakna Kelantan TRW kini boleh mendaftarkan pemain baharu bagi menghadapi saingan Liga Super 2025/2026 yang akan bermula hujung minggu ini.

“Setelah sekian lama berusaha menyelesaikan segala tuntutan yang membabitkan kelab dikenakan larangan pendaftaran pemain, akhirnya alhamdulillah semuanya berjaya diselesaikan.

“Kini secara rasmi terbentuklah pasukan baru Kelantan The Real Warriors,” tulis di laman Facebook miliknya di sini hari ini.

Sebelum ini, Kelantan TRW tidak boleh mendaftarkan pemain baharu apabila dikenakan sekatan perpindahan oleh FIFA susulan isu tunggakan gaji.

Kelab yang sebelum ini dikenali sebagai Kelantan Darul Naim (KDN) FC itu melakukan perubahan besar termasuk dari aspek pengurusan, jenama dan skuad mereka bagi menghadapi musim 2025/2026.

Skuad kendalian E Elavarasan itu akan membuka tirai saingan Liga Super 2025/2026 berdepan Kuching City di Stadium Negeri, Kuching pada Sabtu ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast