Alias Rasman

KOTA TINGGI – Pembinaan Hospital Pengajar Universiti (HPU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Sedili perlu dilaksana secara terperinci agar tidak mempunyai masalah kemudian hari.

Ketua Armada Bersatu Johor, Alias Rasman berkata, ini bagi mengelakkan kejadian yang sama berlaku seperti Hospital Pasir Gudang yang sudah siap tetapi tidak dapat beroperasi kerana kekurangan kakitangan.

“Semalam kita dikejutkan dengan berita penangguhan pembukaan Hospital Pasir Gudang yang sebelum ini dijadual mula beroperasi pada 1 Ogos lalu. Puncanya kerana kurangan doktor dan jururawat.

“Sedangkan pembinaan hospital itu sebelum ini dibanggakan kerana siap lebih awal daripada jadual. Tetapi akhirnya, tidak dapat beroperasi kerana masalah asas seperti kekurangan kakitangan.

“Jangan ulangi kesilapan yang sama di Kota Tinggi! Rakyat Kota Tinggi amat mendambakan hospital baharu.

“Lihat sahaja keadaan Hospital Kota Tinggi sedia ada yang tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk yang semakin ramai,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, keputusan membina hospital tersebut tidak perlu terburu-buru kerana mahu mengejar kredit politik sebaliknya rancang dan laksana dengan betul.

“Jangan sampai projek besar tinggal batu tanda atau hanya gah pada majlis pecah tanah,” ujarnya yang juga Ketua Armada Bersatu Kota Tinggi.

Perdana Menteri mengumumkan HPU USIM pada Oktober 2023 dalam Belanjawan 2024 melibatkan peruntukan RM938 juta.

Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula menyatakan projek tersebut akan dilaksanakan dalam dua fasa.

Proses pembinaannya dijangka mengambil masa kira-kira lima tahun untuk siap bermula pada tahun lalu.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast