ISKANDAR PUTERI – Seorang wanita hilang sabar apabila laporan berkenaan bayinya dipercayai didera selepas diambil dari pusat jagaan kanak-kanak dikatakan telah diabaikan dan kes ditutup.
Ibu mangsa, Syaza Syamimi, 27, mendakwa, dia sudah membuat laporan polis dan mendapatkan laporan perubatan terhadap anak lelakinya itu berusia setahun dua bulan.
Dia berkata, semuanya bermula selepas mengambil anaknya pada di pusat jagaan tersebut pukul 7 malam pada 17 Januari lalu.
“Semasa mahu memandikannya, saya dan suami terlihat ada kesan lebam panjang dan kemerahan di belakang badan anak.
“Kemudian keesokannya kami membawa anak kami ke klinik swasta berhampiran untuk dapat nasihat doktor tapi doktor tersebut nak bagi ubat gatal sahaja sebab tak berani tuduh bukan-bukan kepada pihak pusat jagaan.
Saya dan suami tak puas hati. Kemudian pada 19 Januari kami ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk dapatkan second opinion dan doktor sahkan ia bukan kesan gatal tapi kesan dipukul atau jatuh atas objek panjang.
“Laporan polis dibuat di Polis Sentral Johor kerana paling hampir dengan hospital dan laporan ini diperlukan untuk doktor mulakan medical inspection for child abuse.
“Setelah selesai x ray dan consult, kami diarahkan untuk ke balai polis berhampiran rumah bagi mengambil keterangan. Jadi kes kami dipindahkan ke Balai Polis Iskandar Puteri,” tulisnya dalam Facebook miliknya.
Dia berkata, laporan perubatan penuh diterima dari hospital terbabit dan doktor mengesahkan itu merupakan kes dera.
“Saya ke Balai Polis Iskandar Puteri semula untuk buat permohanan jalankan siasatan ke atas pusat jagaan tersebut. Laporan ke JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dibuat,” katanya.
Dia dan suami menunggu maklum balas daripada pihak polis dan JKM sehingga Mac 2025 namun tiada apa-apa perkembangan setakat ini.
Selepas dua bulan iaitu pada 7 April, katanya, dia dipanggil semula ke Balai Polis Iskandar Puteri untuk mendapatkan pengesahan sama ada mahu bawa kes ke mahkamah atau tidak.
“Mestilah kami nak. Kemudian sehingga Mei lalu tiada update daripada pihak polis dan JKM. Kemudian pada 10 Jun lalu, saya sendiri WhatsApp inspektor tanya kalau ada update, baru tahu dah ada keputusan. Tapi apa keputusannya? Saya pun tak diberitahu.
“Pada 8 Julai pula, saya dimaklumkan untuk ambil surat di balai manakala pada 10 Julai saya ke balai tapi inspektor tiada so tak dapat surat,” ujarnya.
Dakwanya, dia menunggu respon pihak terbabit dari 18 dan 24 Julai sebelum diberitahu inspektor terbabit akan memberinya salinan surat dalam bentuk fail PDF pada 29 Julai.
Syaza kemudian menunggu pada 1 dan 4 Ogos tetapi masih tidak menerimanya sebelum akhirnya diserahkan surat dalam bentuk PDF pada 5 Ogos lalu.
“Surat diterima by PDF. Apa keputusannya? Kes ditutup kerana tiada saksi untuk menyokong, tiada kesalahan jenayah, tiada keterangan kukuh. Jadi tiada tindakan akan diambil ke atas siapa-siapa atau mana-mana pihak.
“Hanya sebab pihak jagaan gagal mempamerkan CCTV (kamera litar tertutup) dengan alasan ribut petir dan sedang diselenggara, mereka bebas begitu sahaja,” dakwanya lagi.
Katanya, selama lapan bulan dia menunggu dengan sabar supaya tindakan dilakukan tetapi hampa apabila dimaklumkan kes ditutup begitu sahaja.
“Macam mana dengan trauma anak saya? Trauma kami sebagai parent nak hantar anak ke sekolah? Keselamatan anak-anak lain di pusat jagaan tersebut?
“Jangan cakap saya tak ambil pre-caution step sebelum hantar anak. Saya check semua record official, check review, site visit baru saya register. Bukan saya pilih pakai dadu.
“Saya sangat kecewa dengan semua pihak yang sepatutnya menjaga. Mohon doa semua, semoga ada keadilan buat Syakir Ali kami. Walau tiada keadilan yang telus di dunia, semoga balasan setimpal diterima oleh mereka yang menganiaya kanak-kanak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan mengesahkan pihanyak menerima aduan kejadian itu pada 19 Januari lalu.
Menurutnya, siasatan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu dari aspek pengabaian kanak-kanak di bawah jagaan sebuah taska yang terletak di kawasan Iskandar Puteri.
“Hasil siasatan telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwaraya Negeri Johor dan arahan diterima kes No Further Action (NFA).
“Ini kerana tiada keterangan kukuh untuk mengaitkan mana-mana pihak dengan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya dalam kenyataan hari ini.-MalaysiaGazette

















bagero.. kau siasat latu kalau nak tahu saksi dan semua perkara. ni buta tutup kes.. senang hidup kau ya. jadi kat anak cucu kau baru tau