JOHOR BAHRU – Tindakan Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran, Muhammad Salman Al Farisi yang menyamakan pemimpin wanita sebagai lembu betina adalah satu perbandingan yang bukan sahaja menghina bahkan tidak beradab dan menjijikkan.
Exco Pergerakan Wanita UMNO, Haslinda Salleh berkata, kenyataan tersebut bukan sahaja mengecewakan tetapi satu penghinaan terhadap golongan wanita.
“Penghinaan seperti ini bukan sekadar menyentuh perasaan individu tertentu tetapi menyinggung seluruh wanita Malaysia yang selama ini berjuang, bekerja dan menyumbang dengan penuh dedikasi kepada negara.
“Sebagai Ketua Penerangan Wanita UMNO Johor, saya ingin menegaskan pemimpin wanita, sama ada dari UMNO atau mana-mana parti adalah insan yang telah dipilih oleh rakyat untuk memikul amanah besar.
“Mereka berkorban masa, tenaga dan emosi demi mengangkat suara masyaraka,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang itu dalam satu kenyataan.
Tambahnya, menyamakan mereka dengan haiwan ternakan adalah satu bentuk penghinaan yang keterlaluan dan tidak patut keluar daripada mulut seorang pemimpin apatah lagi dari parti yang membawa imej Islam.
“Adakah ini cara kita mendidik generasi politik akan datang? Dengan memaki dan memperlekeh wanita yang bersuara,” soalnya.
Tegasnya, pemimpin muda seharusnya tampil dengan idea segar, pendekatan bijak dan tutur kata yang membina.
“Jika lidah sudah terbiasa mencaci dan membandingkan wanita dengan haiwan, bagaimana kita mahu membina politik yang bersih dan matang? Adakah penghinaan ini akan menjadi budaya biasa dalam ceramah politik dan ucapan pentas,” katanya lagi.
Lebih menyedihkan, katanya, apabila kenyataan yang menghina itu bukan sahaja tidak ditegur tetapi dipertahankan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menurutnya, pemimpin kanan dalam Pas itu mendakwa menyamakan pemimpin wanita dengan lembu betina bukan satu penghinaan.
“Ini menimbulkan persoalan yang lebih besar, adakah parti yang mendakwa membawa nilai Islam benar-benar memahami batas adab dalam berbahasa?
“Membela kenyataan menghina hanya akan mengundang lebih banyak kerosakan bukan penyelesaian,” katanya lagi.
Haslinda berkata, tindakan Tuan Ibrahim itu juga menghantar isyarat kepada rakyat bahawa wanita boleh dijadikan alat perumpamaan sesuka hati atas nama sindiran politik.
Sedangkan dalam Islam mengajar penganutnya supaya menyampaikan kritikan dengan penuh hikmah, bukan dengan perbandingan yang menjatuhkan maruah.
“Kami menolak sekeras-kerasnya gaya politik yang memperlekeh insan lain khususnya wanita, hanya kerana perbezaan pandangan atau kedudukan.
“Kami menyeru kepimpinan tertinggi parti berkenaan agar tidak pejam mata terhadap perkara ini. Diam bukan lagi pilihan. Sekiranya tiada tindakan diambil, ia memberi isyarat bahawa budaya menghina wanita boleh diterima, atau lebih buruk direstui secara senyap,” katanya.
Pada 3 Ogos lalu, Muhammad Salman menerusi hantaran dalam media sosial menekankan kepentingan kepimpinan lelaki dalam masyarakat sambil memberikan analogi berdasarkan pengalamannya menternak lembu selama lebih setahun.
Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian dalam menguruskan ternakan, lembu betina sering memimpin kumpulan ternakan tersebut termasuk menentukan lokasi meragut, masa berehat dan waktu pulang manakala lembu jantan hanya berperanan menjaga keselamatan kawanan.
Susulan kenyataan itu, pengasas Pertubuhan Kebajikan Bidadari Malaysia, Napsiah Khamis Maharan mengecam Muhammad Salman dan menyifatkan kenyataan tersebut sebagai seksis, biadab serta mencerminkan pemikiran mundur yang membahayakan kemajuan masyarakat.
Semalam, Tuan Ibrahim mempertahankan Muhammad Salman itu dan berkata, kenyataan itu perlu difahami sebagai satu bentuk analogi biasa dalam penulisan bukan bertujuan menghina wanita.
“Saya tidak nampak apa yang seksisnya pada kenyataan tersebut. Ia satu analogi daripada perspektif dia (Muhammad Salman), bukan merendahkan martabat wanita pun. Cuma, mungkin ada pihak yang terasa,” katanya.- MalaysiaGazette
















