Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 27 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat hari ini sekali lagi mencuri perhatian apabila istilah ‘mambang’ dan ‘mamba’ yang digunakan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid mencetuskan kekecohan, sindiran dan bantahan berpanjangan dalam kalangan wakil rakyat.

Istilah tersebut yang dikaitkan secara sindiran terhadap enam ahli Parlimen pembangkang yang didakwa beralih sokongan kepada kerajaan mendapat reaksi keras daripada Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dan turut disokong oleh Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin serta beberapa yang lain.

Rayer merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 36(4) yang melarang bahasa kesat, menyindir atau kurang sopan digunakan dalam Dewan.

“Ini bukan perkara untuk dijadikan gurauan. Jangan hina,” tegas Rayer sambil menuntut agar Rosol dan Datuk Takiyudin Hassan (Kota Bharu-PN) menarik balik kenyataan tersebut.

Zhemin turut menyokong bantahan Rayer danb menyifatkan kenyataan yang dilontarkan sebagai tidak wajar dan menghina.

Ketika suasana menjadi semakin tegang, beberapa ahli Parlimen menuduh satu sama lain membuat tuduhan tidak berasas termasuk kenyataan  ‘DAP memang anti-Islam’ dan ‘Ini memang standard Pas’ yang mencetuskan lebih banyak kekecohan dan desakan supaya ditarik balik.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul beberapa kali menenangkan keadaan dan meminta semua ahli Parlimen kembali bertenang.

“Kalau saya sendiri tak faham maksud mambang apatah lagi rakyat di luar sana. Mambang di tempat saya maksudnya mungkin cantik, hebat tapi di tempat lain mungkin makna berbeza.

“Jadi saya minta, elakkan guna perkataan yang boleh menimbulkan kekeliruan atau sindiran,” tegas Johari.

Beliau turut menegaskan agar istilah seperti ‘mambang’, ‘mamba’ atau seumpamanya tidak lagi digunakan dalam perbahasan bagi mengelakkan salah faham dan gangguan terhadap urusan Dewan Rakyat.

“Gunalah perkataan yang standard, jelas dan difahami semua. Kalau tidak, akan berlaku miscommunication antara kita. Saya minta kita semua hormat dewan,” tegasnya lagi.

Insiden itu tercetus susulan perbahasan berkaitan status enam Ahli Parlimen pembangkang yang didakwa menyokong kerajaan namun belum membuat sebarang pengesahan rasmi.

Sindiran terhadap mereka dianggap memperlekeh dan tidak wajar oleh beberapa wakil rakyat.

Walaupun Speaker Dewan Rakyat mengarahkan perbahasan diteruskan, beberapa ahli Parlimen terus bersuara termasuk dari Kampar yang menuntut agar ketelusan dan adab berbahas diutamakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast