PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memulangkan laporan penuh siasatan awal kematian Zara Qairaina Mahathir kepada pihak polis untuk dilengkapkan sebelum mengambil tindakan lanjut.
Peguam Negara Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, laporan itu dikembalikan semalam dan beliau sudah mengeluarkan arahan berhubung beberapa perkara untuk diteliti oleh pasukan siasatan.
“Kita sudah beri arahan tertentu (kepada pihak polis), maknanya ada beberapa benda kita perlu kumpul balik. Kena tentukan banyak benda sebab perkara ini dah tular (viral).
“Saya tidak boleh memaklumkan tindakan yang akan diambil kepada sesiapa buat masa ini atau inkues dijalankan (bagi menyiasat kematian mangsa).
“Kita kena pastikan ini adil, buat masa ini saya tidak boleh dedahkan apa-apa kerana siasatan masih dijalankan,” ujar beliau ketika ditemui pihak media pada Majlis Menghargai Pelantikan Ketua Hakim Negara Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh di Istana Kehakiman, di sini hari ini.
Mohd. Dusuki mengulas laporan penuh siasatan awal yang dihantar oleh pihak polis kepada agensi itu, kelmarin.
Dalam kenyataannya, AGC memaklumkan menerima laporan penuh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Cawangan Sabah pada 3 Ogos lalu dan di Ibu Pejabat Putrajaya, pada 4 Ogos.
Semalam, media melaporkan pasukan peguam yang mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat sudah menghantar surat kepada Peguam Negara berhubung siasatan kematian pelajar itu.
Surat itu antara lain memohon siasatan dibuka semula, demi keadilan Zara Qairina.
Peguam-peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri dalam kenyataan berkata, turut dimohon kubur Zara Qairina digali semula supaya satu bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematiannya.
Allahyarham yang merupakan pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, didakwa terjatuh dari tingkat tiga dan ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.
Dia disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu. – MalaysiaGazette
















