KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena memberi amaran keras kepada pemimpin Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) agar tidak mencabar semangat patriotisme parti Melayu itu dalam isu Jalur Gemilang terbalik.
Ketuanya, Mohd Farhan Ahmad berkata, DAPSY diingatkan tidak mempolitikkan isu bendera Malaysia dengan menuduh Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh menghina Orang Kelainan Upaya (OKU).
“Jangan cabar semangat patriotisme kami. Jangan cuba mempolitikkan isu bendera demi kepentingan sempit. Bila bendera negara dihina, kami tidak akan diam. Bila pemimpin kami diserang kerana mempertahankan negara, kami akan bangkit.
“Dr. Akmal tidak pernah menghina OKU dan beliau juga tidak menyerang individu tertentu.
“Teguran beliau ditujukan kepada pihak berwajib agar lebih bertanggungjawab dalam soal simbol negara,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini
Sebelum ini, Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau membuat hantaran di laman sosial miliknya meminta agar DAPSY yang mengkritik beliau turut diberikan status OKU.
Kenyataan itu dibuat sebagai maklum balas kepada Penolong Setiausaha DAPSY, Edmund Lim yang mengecam Akmal berhubung Jalur Gemilang dipasang terbalik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Farhan berkata, pemimpin DAPSY perlu mencontohi sikap patriotisme di Indonesia dan Thailand yang tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang mempermainkan bendera dan berdepan tindakan tegas tanpa kompromi.
“Ini soal tanggungjawab bukan sentimen. Ini soal prinsip bukan propaganda. Di Malaysia, keadaan itu berlaku sebaliknya.
“Sebaliknya, Dr. Akmal yang bersuara mempertahankan maruah negara, diserang dengan tohmahan dan dimomokkan DAPSY yang terkenal dengan politik spin dan alergik terhadap semangat kebangsaan,” katanya.
Selain itu, Farhan mempersoalkan tindakan pimpinan DAPSY yang lebih berminat untuk mempertahankan pelaku yang juga seorang OKU berbanding mempertahankan maruah negara.
“Pemuda UMNO ingin bertanya. Apa yang DAP cuba pertahankan sebenarnya? Hak siapa yang mereka lindungi? Adakah kerana lokasi kejadian berlaku di sekolah vernakular maka isu ini harus didiamkan?
“Kami tidak anti sesiapa. Kami anti penghinaan terhadap negara. Kami tidak menyerang kaum atau golongan tertentu. Kami menyerang sikap angkuh dan hipokrit dalam mempertahankan sesuatu yang terang-terang salah,” katanya.
Katanya lagi, keberanian Dr Akmal dalam menyuarakan kebenaran di sebalik insiden kecuaian memasang Jalur Gemilang secara terbalik tidak dihargai malah diserang dan dipijak.
“Ini bukan isu remeh. Ini bukan isu sengaja mencari salah. Ini soal maruah negara. Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan, kemerdekaan dan perpaduan negara kita yang tercinta.
“Ia bukan sekadar kain dikibarkan semasa perayaan, ia adalah simbol perjuangan tokoh-tokoh bangsa yang menuntut kemerdekaan dan membina Malaysia berdaulat.
“Tindakan memasang Jalur Gemilang secara terbalik bukanlah perkara kecil. Ia adalah penghinaan terang-terangan kepada negara, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku menjelang sambutan Hari Kebangsaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazatte
















