KUALA LUMPUR – Polis sedang giat mengesan Mohd Ezman Zamani yang disyaki dalang kes penipuan pelaburan yang dikendalikan oleh sebuah syarikat di Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sebanyak 279 laporan polis telah diterima sejak 2023 sehingga kini melibatkan nilai kerugian RM2,319,300.
“Nama syarikat yang sedang JSJK siasat adalah Radiat Ascent Sdn Bhd yang dikendalikan suspek berusia 39 tahun dengan alamat terakhirnya di Rawang dan kita percayai suspek masih berada di dalam negara.
“Berdasarkan siasatan, kesemua mangsa dalam kes ini menyertai pelaburan setelah mengikuti webinar yang dianjurkan syarikat itu dan menawarkan pulangan dividen sehingga 18 peratus setahun atau 1.5 peratus sebulan.
“Pada peringkat awal, pelabur memperoleh keuntungan yang dijanjikan namun kemudian pelbagai alasan diberikan dan pulangan yang dijanjikan tidak lagi dibayar dan siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ, di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali Mohd Ezman untuk menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Mohd Fikri Najib Ismail di talian 013-9839854 atau Inspektor Noor Azamin Noor Azahari di talian 011-65580848. – MalaysiaGazette
















