KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail menegaskan beliau tidak mempunyai maklumat lanjut berhubung penyertaan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Ampang.
Ini kerana, menurut Rodziah, beliau bukan lagi ahli pimpinan tertinggi PKR.
Namun, sesuatu yang jelas, ujarnya, beliau masih lagi merupakan Ahli Parlimen Ampang.
Rodziah mengakui menerima banyak pertanyaan mengenai perkara berkenaan daripada pelbagai pihak sejak Tengku Zafrul membuat pengesahan tersebut malam tadi.
“Tiba2 ramai pulak text saya… ttg berita smlm. Jawapan saya: “saya bukan pimpinan tertinggi lagi, saya tak tau apa yg berlaku. Mohon tanya mereka”.
“Yg jelas saya masih Ahli Parlimen Ampang,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Semalam, Tengku Zafrul mengesahkan permohonan beliau untuk menyertai parti PKR sudah diterima dua minggu lalu dan beliau kini adalah ahli PKR bagi Cabang Ampang.
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu, permohonan keahlian beliau menyertai parti PKR telah diterima dua minggu lepas.
Perkara itu turut disahkan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh yang dilaporkan berkata, permohonan Tengku Zafrul diluluskan Majlis Pimpinan Pusat PKR dalam mesyuarat pada 26 Julai lalu.
Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatannya dalam UMNO dan menyatakan niat untuk menyertai PKR pada 30 Mei lalu.
Pengumuman Tengku Zafrul itu mengundang pelbagai spekulasi termasuk kemungkinan diadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi membolehkan Tengku Zafrul bertanding untuk dilantik semula sebagai menteri memandangkan tempoh Senatornya akan berakhir hujung tahun ini. – MalaysiaGazette
















