JASIN – Seorang wanita warga emas maut manakala anaknya cedera dalam nahas dengan sebuah lori buah di Jalan Nyalas, Kampung Pondok Batang, Jasin di sini tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, mangsa wanita berusia 66 tahun meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anaknya, 23 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Viva, cedera.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jasin, Pegawai Bomba Kanan I, Azman Md Dawam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 1.32 tengah hari sebelum tujuh anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Viva dipandu wanita berusia 23 tahun bersama ibunya, 66 tahun dengan sebuah lori tiga tan membawa muatan buah-buahan.
“Dua mangsa wanita tersepit di tempat duduk hadapan dan penumpang warga emas disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas perubatan manakala pemandunya cedera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, pemandu lori lelaki berusia 30-an bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital.
Jenazah warga emas diserahkan pihak polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















