Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar.

KUALA LUMPUR – Polis memohon kerjasama orang awam bagi mengesan saksi kemalangan maut yang membabitkan seorang penunggang motosikal di Jalan Utara, di Petaling Jaya, Selangor minggu lalu.

Dalam kejadian pada Rabu lalu, mangsa parah selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta pada jam 6.01 petang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan segera.

Namun, mangsa telah disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2 pagi semalam selepas empat hari bertarung nyawa.

“Pemandu kereta yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah membuat laporan polis pada hari kejadian.

“Kes pada mulanya disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, namun susulan kematian mangsa, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 41(1) akta sama,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau meminta saksi atau individu yang berada di lokasi kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor M Sivam di talian 017-3290749 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Shahrulnizam turut menegaskan bahawa polis tidak akan berkompromi dengan pemandu yang memandu secara berbahaya dan akan mengambil tindakan tegas.

Selain itu, beliau juga menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu berhubung insiden terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast