Fakharuddin Moslim

JOHOR BAHRU – Cadangan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari supaya undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dilakukan secara sulit adalah satu cubaan ‘tebuk atap’ untuk menjatuhkan kerajaan Perpaduan.

Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tenggara, Fakharuddin Moslim berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memberi peluang dan mencabar pembangkang sebelum ini untuk membuat undi tidak percaya secara terbuka di Dewan Rakyat.

“Cabaran itu disambut pembangkang tetapi menuntut kerajaan membenarkan undian dilakukan secara sulit bagi menguji sokongan sebenar dalam Dewan Rakyat.

“Dalam konteks Parlimen Malaysia dan kebanyakan sistem demokrasi berparlimen, undi tak percaya atau undi sokongan terhadap Perdana Menteri biasanya dilakukan secara terbuka.

“Sebab utamanya ialah kerana prinsip ketelusan demokrasi. Ahli Parlimen dipilih oleh rakyat, jadi rakyat berhak tahu bagaimana wakil mereka mengundi dalam isu besar seperti kedudukan Perdana Menteri. Undi sulit akan menghilangkan akauntabiliti ini,” katanya dalam kenyataan.

Semalam Ahmad Fadhli mencadangkan undi secara sulit bagi menguji sokongan sebenar dalam Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, langkah itu adalah kebertanggungjawaban terhadap pengundi dan wakil rakyat perlu mempertahankan pendirian kepada pengundi, bukan bersembunyi di balik undi rahsia.

Selain itu ujarnya, sudah menjadi amalan Parlimen Komanwel dalam tradisi Westminster, undian penting seperti itu biasanya direkod secara terbuka untuk memastikan integriti proses.

“Risiko manipulasi politik, undi sulit dalam hal ini boleh membuka ruang untuk pengkhianatan senyap tanpa risiko reputasi politik, yang mungkin merosakkan kestabilan kerajaan dan merumitkan hubungan antara parti,” katanya.

Sekiranya mahu menguji sokongan sebenar terhadap Perdana Menteri katanya, cara yang betul ialah buat undi terbuka di Dewan Rakyat supaya jelas.

“Kenyataan Fadhli Shaari ini sebenarnya helah saja kerana Pas dah biasa dengan kerajaan tebuk atap. Undi sulit ni amalan parti yang suka runding belakang dan tebuk atap. Sekali tebuk atap, selamanya tebuk atap,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast