KUALA LUMPUR – Insiden Jalur Gemilang digantung terbalik yang mencetuskan perhatian baru-baru ini disifatkan sebagai kesilapan kecil yang berlaku akibat kurangnya pengetahuan mengenai kedudukan bendera negara.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pihak terlibat dipercayai tidak berniat jahat dan tindakan itu berkemungkinan besar dilakukan tanpa disedari.
“Saya rasa ini kejadian kecil. Kita perlu lihat puncanya. Orang yang menggantung bendera itu mungkin tidak faham tentang kedudukan yang betul. Takkan mereka sengaja nak buat macam tu.
“Salah tetap salah. Jalur Gemilang perlu dihormati, tapi kita juga perlu mendidik, bukan terus menghukum,” katanya seperti dilapor akhbar, Kosmo! pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Minggu Harmoni Mesra 2025 di UCSI Universiti, di sini, hari ini.
Aaron turut menzahirkan rasa kesal dengan insiden tersebut dan menegaskan bahawa Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan negara yang perlu dijaga dengan penuh hormat.
“Bila perkara seperti ini berlaku, ia boleh mengganggu sensitiviti rakyat pelbagai kaum. Kita jangan cepat melatah, beri peluang untuk mereka faham dahulu,” katanya.
Beliau juga mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan isu tersebut atau menjadikannya punca ketegangan antara masyarakat.
“Saya tahu ramai yang marah dan rasa terganggu, tetapi jangan jadikan isu ini untuk mencetuskan pergaduhan. Jalur Gemilang lambang penyatuan, bukan perpecahan,” ujarnya.
Jelasnya, insiden berkenaan wajar menjadi peringatan kepada semua pihak supaya lebih teliti dan memahami makna sebenar bendera kebangsaan. – MalaysiaGazette
















