SEPANG – Polis masih menunggu laporan daripada Jabatan Kimia berhubung barang kes yang dirampas dalam siasatan dakwaan kelakuan tidak senonoh pada program motivasi rumah tangga eHATI.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, sehingga kini, seramai 95 individu sudah dirakamkan keterangan dan tindakan susulan sedang dijalankan termasuk menunggu beberapa laporan pakar daripada agensi yang telah menerima barang kes berkenaan.
“Sehingga kini pihak polis telah merakam sebanyak 95 rakaman penceramah. Masih ada tindakan susulan dan pihak kami masih lagi menunggu beberapa laporan-laporan pakar daripada agensi-agensi yang telah kita hantar barang kes untuk bujukan.
“Rujukan juga telah dibuat kepada Pejabat Pendakwaan Negeri dan juga agensi dan beberapa arahan telah diberikan kepada pihak polis untuk diteruskan siasatan.
“Kita akan ambil maklum dan ambil tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media di Balai Polis Daerah Sepang hari ini.
Bulan lalu, bekas Ketua Polis Selangor ketika itu, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seramai 90 individu telah dirakam keterangan berhubung siasatan yang dijalankan melibatkan program motivasi rumah tangga eHati.
Antara yang dipanggil termasuk fasilitator, peserta serta kakitangan syarikat yang terlibat.
Dalam masa sama, Shazeli turut menjelaskan, pihaknya tidak membuat rampasan terhadap air coklat (Piya) yang yang didakwa mempunyai unsur pengkhayalan namun terdapat beberapa rampasan lain yang telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
“Barang rampasan itu telah kita hantar ke Jabatan Kimia dan pending pada laporan Jabatan Kimia. Kita tidak boleh rushing (tergesa-gesa) Jabatan kerana ia bergantung pada kerumitan kes tersebut,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan polis menjalankan siasatan dari pelbagai sudut termasuk ritual bertentangan dengan syarak membabitkan program berkenaan.
Pengasas program yang juga pasangan suami isteri bersama empat individu lain berusia antara 26 hingga 57 tahun direman tiga hari bagi membantu siasatan.
Siasatan polis mendapati wujud aktiviti berbogel semasa sesi tertutup khas dikenali sebagai Queens Night dalam program itu.
Selain itu, 50 peserta yang menyertai program dikenal pasti menerusi senarai nama yang diperoleh polis dan mereka diminta tampil bagi memberi keterangan. – MalaysiaGazette
















