GEORGE TOWN – DAP Pulau Pinang menyatakan kesediaan untuk turun ke lapangan sekiranya ada pihak yang mengugut atau mengganggu penduduk berhubung isu bendera terbalik di Kepala Batas.
Pengerusinya, Steven Sim Chee Keong berkata, parti itu akan berdiri bersama rakyat bagi mempertahankan keamanan dan keharmonian negeri.
“Kami akan menyambut puak yang membuat provokasi dengan mengedarkan Jalur Gemilang sebagai simbol perpaduan dan kasih sayang kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau menegaskan isu bendera terbalik tersebut telah diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk disiasat dan diurus mengikut undang-undang.
“Tiada ruang untuk mana-mana pihak ketiga mengambil kesempatan atau mengapi-apikan keadaan.
“Sebaliknya, jalan terbaik adalah melalui tekad bersama rakyat Malaysia untuk memelihara perpaduan, mengukuhkan keharmonian dan menyuburkan rasa cinta kepada tanah air tanpa keganasan atau provokasi,” katanya.
Media semalam melaporkan kertas siasatan berhubung insiden memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah kedai perkakasan di Bertam di sini, akan dirujuk ke Putrajaya untuk mendapatkan arahan lanjut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, dokumen siasatan itu telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Pulau Pinang pada jam 2.30 petang.
“Selepas semakan awal dilakukan, TPR meminta kertas siasatan ditinggalkan untuk tujuan penelitian sebelum ia dibawa ke Putrajaya bagi mendapatkan arahan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette
















