MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mempamerkan kecemerlangan berterusan apabila berjaya memenangi anugerah berprestij Anugerah Kecemerlangan PPT: Jaminan Kualiti Dalaman (IQA) di Majlis Anugerah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) 2025 semalam.
Anugerah yang dimenangi UTeM selaku pemenang utama Anugerah Kecemerlangan PPT: Jaminan Kualiti Dalaman (IQA) dalam kalangan seluruh universiti dalam negara dan dengan kemenangan ini UTeM membawa pulang piala dan sijil kecemerlangan.
UTeM turut tersenarai antara 3 universiti terbaik bagi Anugerah Kecemerlangan PPT: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan lima universiti terbaik bagi Anugerah Kecemerlangan PPT: Pembelajaran Sepanjang Hayat.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, kejayaan ini jelas menjulang nama UTeM dan membuktikan universiti ini terus komited dalam
mempamerkan kecemerlangan berterusan dalam aspek pematuhan standard dan inovasi dalam jaminan kualiti mampan.
Jelasnya, UTeM sentiasa memastikan pelaksanaan pengurusan kualiti dalaman yang berprestij tinggi keseluruhan, sistem jaminan kualiti dalaman yang kukuh di
samping proses penandaarasan, yang melibatkan perbandingan dengan amalan terbaik untuk meningkatkan kualiti program.
“Hasil daripada proses penandaarasan ini, yang terdiri daripada kekuatan dan peluang penambahbaikan, menjadi input bagi menambah baik matlamat institusi,
pelan strategik dan juga sistem jaminan kualiti.
“Pada masa yang sama pemacuan kepimpinan UTeM tentunya memainkan peranan penting dalam memacu budaya kualiti. kepimpinan yang berkesan dalam
memastikan pelaksanaan dasar dan prosedur berkualiti serta memberi inspirasi kepada staf dan pelajar untuk mencapai kecemerlangan, ujarnya.
Katanya lagi, antara lain UTeM terus sentiasa agresif dalam penyertaan dalam proses penilaian dan audit dalaman yang membantu mengenal pasti kekuatan dan
kelemahan dalam sistem pengurusan kualiti dan membolehkan universiti membuat penambahbaikan yang diperlukan untuk memastikan standard kualiti yang tinggi. – MalaysiaGazette















