GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan memastikan pemantauan rapi terhadap perbelanjaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi mengelakkan ketirisan, selain menuntut setiap projek dilaksana secara telus dan melalui tender terbuka.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, langkah itu penting supaya kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana benar-benar mendapat manfaat daripada pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah rancangan berkenaan.
“RM227 bilion atau 53 peratus daripada jumlah perbelanjaan pembangunan telah diperuntukkan bagi menyokong infrastruktur, infrastruktur digital, pengangkutan awam, tebatan banjir, rumah mampu milik dan projek pembinaan kapasiti.
“Tambahan RM133 bilion pula disalurkan untuk sektor sosial termasuk pendidikan dan penjagaan kesihatan.
“Setiap sen perbelanjaan ini perlu dikawal dengan ketat bagi mengelak ketirisan dan memastikan kumpulan sasaran mendapat manfaat sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Tambah beliau, pengangkutan awam yang cekap perlu dibangunkan dengan menggabungkan Demand Responsive Transit (DRT) bagi meningkatkan kesalinghubungan, mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian serta memastikan tambang berpatutan, mudah diakses dan menepati masa.
“Keuntungan tidak seharusnya menjadi keutamaan dalam pengurusan pengangkutan awam, sebaliknya ia wajar dikendalikan kerajaan sekurang-kurangnya pada peringkat awal bagi memastikan keberkesanan.
“Kerajaan juga perlu menubuhkan Lembaga Perumahan dan Pembangunan Negara bagi membangunkan rumah mampu milik di tanah milik kerajaan serta mengembangkan inisiatif seperti Skim Jaminan Kredit Perumahan dan program Sewa untuk Beli.
“CAP mengalu-alukan tumpuan RMK-13 terhadap isu-isu seperti gaji tidak bergerak, rumah mampu milik, pengangkutan, penjagaan kesihatan dan kemampanan makanan, namun pelaksanaannya perlu disertai audit tetap, pendedahan awam dan mekanisme maklum balas bagi membina kepercayaan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















