LONDON/BRUSSELS – Seramai 24 menteri luar dari Britain, Perancis, Australia dan negara lain pada Selasa bersama-sama berikrar untuk membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza, sambil memberi amaran bahawa penderitaan kemanusiaan di wilayah itu telah mencapai tahap “tidak dapat dibayangkan,” lapor Xinhua.
Dalam kenyataan dalam talian yang turut ditandatangani pegawai kanan Kesatuan Eropah (EU), para menteri menegaskan: “Ruang kemanusiaan mesti dilindungi dan bantuan tidak seharusnya dipolitikkan” dalam konteks Gaza.
Mereka memberi amaran mengenai kebuluran di wilayah tersebut, sambil menegaskan: “Tindakan segera diperlukan sekarang untuk menghentikan dan memulihkan kebuluran.”
Para menteri menggesa kerajaan Israel membenarkan semua penghantaran bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa dan menarik balik sekatan terhadap operasi kemanusiaan penting.
“Semua lintasan dan laluan mesti digunakan bagi membolehkan kemasukan besar-besaran bantuan ke Gaza, termasuk makanan, bekalan pemakanan, tempat perlindungan, bahan api, air bersih, ubat-ubatan dan peralatan perubatan,” menurut kenyataan itu.
Rayuan tersebut dibuat ketika Gaza mengalami krisis kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, yang bertambah buruk sejak Mac apabila pihak berkuasa Israel menutup semua lintasan masuk ke wilayah itu.
Antara penandatangan kenyataan tersebut ialah menteri luar Belgium, Kanada, Cyprus, Denmark, Estonia, Finland, Greece, Iceland, Ireland, Jepun, Lithuania, Luxembourg, Malta, Belanda, Norway, Portugal, Slovakia, Slovenia, Sepanyol, Sweden dan Switzerland.
Pegawai kanan EU yang menandatangani kenyataan termasuk Kaja Kallas, Wakil Tinggi EU bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan dan Naib Presiden Suruhanjaya Eropah; Dubravka Suica, Pesuruhjaya EU bagi Mediterranean; dan Hadja Lahbib, Pesuruhjaya EU bagi Kesiapsiagaan, Pengurusan Krisis dan Kesaksamaan.
Pada Selasa, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melaporkan operasi berterusan di seluruh Gaza.
Hospital di wilayah itu melaporkan lima kematian akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan dalam tempoh 24 jam lalu, termasuk dua kanak-kanak, menjadikan jumlah kematian akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan sejak Oktober 2023 kepada 227 orang, termasuk 103 kanak-kanak.
Pihak berkuasa Israel berulang kali menafikan tanggungjawab terhadap penyebaran kebuluran di Gaza, sekali gus mencetuskan kecaman global. Pada Julai lalu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menafikan berlakunya kebuluran atau sebarang dasar untuk menyebabkannya melalui hantaran di media sosial.
Ekoran operasi ketenteraan berterusan Israel dan sekatan terhadap bantuan kemanusiaan, lebih banyak negara menyuarakan sokongan terhadap hak asasi rakyat Palestin. Desakan masyarakat antarabangsa untuk melaksanakan penyelesaian dua negara semakin meningkat.
Pada 24 Julai, Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata Perancis akan mengiktiraf secara rasmi Negara Palestin semasa sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September. Pada Isnin, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese turut mengumumkan bahawa Australia akan mengiktiraf secara rasmi Negara Palestin pada September.
— BERNAMA-XINHUA
















