Ketua Cabang PKR Seremban, Noor Iskandar Mohamad Noor.

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Seremban mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap anak kepada bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya petang tadi.

Cabang itu menyifatkan kejadian yang melibatkan penggunaan jarum suntikan itu bukan sahaja mengancam nyawa mangsa malah meninggalkan kesan trauma yang mendalam kepada kanak-kanak berkenaan serta keluarganya.

Ketua Cabang PKR Seremban, Noor Iskandar Mohamad Noor berkata, seluruh cabang berdiri teguh bersama Rafizi dan keluarganya, selain mendoakan mereka kekal tabah menghadapi ujian berkenaan.

“Rafizi dikenali sebagai seorang pemimpin yang lantang memperjuangkan kebenaran. Tindakan keji ini sama sekali tidak akan mematahkan semangat perjuangan beliau,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menegaskan, serangan terhadap kanak-kanak adalah jenayah serius yang tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan, apatah lagi jika bertujuan mengugut atau menakut-nakutkan atas alasan politik atau peribadi.

“Kanak-kanak seharusnya dilindungi bukan dijadikan sasaran,” ujarnya.

Beliau turut mendesak pihak berkuasa bertindak segera menjalankan siasatan menyeluruh dan membawa pelaku ke muka pengadilan tanpa sebarang kompromi.

Katanya, keselamatan keluarga pemimpin khususnya anak-anak perlu dijamin sepenuhnya demi menjaga maruah, keamanan dan kestabilan negara.

Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat Malaysia bersatu menolak sebarang bentuk keganasan serta memelihara nilai kemanusiaan, rasa hormat terhadap nyawa dan keselamatan setiap individu. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Anak Rafizi diserang di pusat beli belah

PM arah KDN siasat segera insiden terhadap anak Rafizi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast