Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli bercakap kepada pemberita pada sidang media di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli tidak menolak kemungkinan serangan ke atas anaknya semalam adalah cubaan pihak tertentu untuk menutup mulut beliau daripada menyiasat satu skandal.

Tanpa mendedahkan secara khusus skandal berkenaan, bekas Menteri Ekonomi itu berkata, kejadian tersebut berlaku selepas beliau berjumpa dengan sekumpulan pemberi maklumat.

“Pada hemat saya, ini bersabit dengan cubaan untuk menutup mulut saya lah. Maksudnya ada sesuatu yang saya sedang teliti dan ini mesejnya supaya saya hands off perkara itu.

“Minggu lepas memang ada satu kumpulan whistleblower yang datang mengenai satu skandal. Itu yang saya boleh beritahu.

“Jadi maksudnya saya ingat pihak yang terbabit sesiapa dalam di belakang ini tahu selalunya kalau saya mula melihat sesuatu skandal saya akan gali…gali dan gali,” katanya pada sidang media di Pusat Media bangunan Parlimen, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/08/14/pm-jamin-siasatan-kes-serangan-terhadap-anak-rafizi-telus-pantas/

Semalam, media melaporkan anak lelaki Rafizi diserang secara tiba-tiba ketika bersama isterinya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya kira-kira 1.45 tengah hari.

Dalam pada itu, Rafizi juga berkata, beliau menjangkakan ancaman itu akan berterusan kerana semakin ramai pemberi maklumat mengenai satu skandal itu datang kepada saya.

“Jadi saya ingat pada hemat saya ini cara untuk memastikan saya move on and skip this all together lah. Jadi maklumat yang lanjut mengenai siapa dan sebagainya itu yang itu saya serahkan kepada pihak polis,” katanya.

Rafizi mengakui, walaupun telah menyiasat banyak perkara hingga memakan masa sehingga tiga ke empat bulan, namun beliau tidak pernah menerima sebarang ugutan selama ini.

“Memang tak pernah ada sebarang ugutan kepada saya sampai sekarang. Tapi ia (ugutan) kepada isteri saya. Pihak media pun tahu sangat lantang dalam beberapa isu and beberapa individu sejak satu ke bulan lalu,” katanya.

Katanya lagi, ramai pemberi maklumat akan datang kepadanya apabila bekas Timbalan Presiden PKR menyuarakan sesuatu isu dan kali terakhir beliau didatangi pemberi maklumat adalah pada Rabu lalu.

“Apabila saya mula bercakap maka pemberi maklumat akan tampil ke hadapan dan mereka akan kata saya ada maklumat ini dan itu.

“Jika anda berada di tempat saya, ini adalah fakta yang polis akan menyiasat. Sama ada ada pertalian dan ada sebab musabab.

“Maksudnya selepas pemberi maklumat datang berjumpa saya minggu lepas, tiba-tiba perkara ini berlaku,” katanya.

Katanya lagi, beliau tidak menolak kemungkinan motif serangan terhadap anaknya berkait rapat dengan tugasnya sebagai ahli politik dan kerja-kerja yang sedang dilakukan terhadap satu skandal ketika ini.

“Pada hemat saya dan pandangan saya motifnya ialah bersabit dengan kerja saya lah, dan ia bukan kerana motif lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast