JOHOR BAHRU – Perbezaan pandangan dan persaingan politik tidak boleh sekali-kali menjadi alasan untuk bertindak ganas atau mengugut mana-mana pihak.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, semua pihak perlu menghormati ruang demokrasi dan menyelesaikan perbezaan melalui perbahasan, hujah, dan saluran undang-undang yang betul.
Justeru Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pulai itu mengutuk sekeras-kerasnya serangan terhadap Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan keluarganya.
Beliau menyifatkan pelakunya sebagai seorang yang pengecut dan merosakkan demokrasi.
“Ini bukan sahaja mengancam keselamatan individu, malah merupakan serangan terhadap prinsip demokrasi, kebebasan bersuara dan peradaban politik yang matang.
“Pihak berkuasa mesti melaksanakan siasatan menyeluruh dan memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan.
“Kenakan tindakan yang paling tegas agar menjadi pengajaran dan amaran kepada mana-mana pihak yang berniat melakukan tindakan serupa,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar mengesahkan Rafizi diserang dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya yang dipercayai berlaku kira-kira 2 petang di kawasan mengambil dan menurunkan penumpang.
Rafizi berkata, anaknya telah diheret seorang lelaki dan dicucuk dengan jarum suntikan, selain beliau mendakwa serangan itu melibatkan dua lelaki berpakaian hitam dan bertopi keledar yang menaiki sebuah motosikal.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Pergerakan isteri saya dikesan sebelum anak diserang – Rafizi
















