Setiausaha Agung DAP Anthony Loke

KUALA LUMPUR – DAP mengecam sekeras-kerasnya tindakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh yang mengetuai perarakan dan demonstrasi di depan sebuah kedai logam di Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, melahirkan rasa kesal dengan tindakan Dr Akmal walaupun Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Pulau Pinang memberi amaran agar tidak mengadakan perhimpunan itu.

“⁠Tindakan tersebut merupakan satu bentuk buli dan ugutan terhadap peniaga tersebut walaupun siasatan masih dijalankan.

“Malah peniaga terbabit sudah memohon maaf terhadap kesilapan pemasangan bendera,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan Pergerakan Pemuda UMNO dan Armada Bersatu masing-masing diketuai Dr Akmal dan Hilman Idham mengadakan perhimpunan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di hadapan sebuah kedai logam di Taman Bertam Permata, Kepala Batas.

Lebih 500 anak muda mewakili Pergerakan Pemuda UMNO, Armada Bersatu dan Pas yang berarak bersama mengibarkan Jalur Gemilang sejauh 1.4 kilometer sebagai simbol perpaduan mempertahankan maruah bendera negara.

Dalam pada itu, Loke berkata, tindakan Dr Akmal yang tidak mengendahkan amaran pihak polis itu merupakan satu perbuatan mencabar kedaulatan undang-undang.

“Bahkan tindakan Dr Akmal itu mengganggu ketenteraman awam menyebabkan kegusaran peniaga-peniaga di sekitar kawasan tersebut sehingga mereka terpaksa menutup perniagaan mereka lebih awal.

“⁠Perbuatan seperti ini melampaui batas undang-undang dan norma masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Hukuman setimpal perlu dijatuhkan terhadap perbuatan melampau seperti ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) di seluruh negara membuat laporan polis terhadap kejadian semalam.

“Laporan dibuat di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah, Seksyen 504 Kanun Keseksaan (sengaja mengeluarkan kenyataan mengaibkan dengan niat membangkitkan kekacauan), Seksyen 505 Kanun Keseksaan (mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam).

“Laporan polis juga akan dibuat di bawah seksyen-seksyen baharu untuk menangani buli.

“Antaranya Seksyen 507B Kanun Keseksaan (menyebabkan mangsa mengalami gangguan, distres, ketakutan atau kebimbangan) dan 507C Kanun Keseksaan (mengeluarkan kata-kata berkemungkinan menyebabkan mangsa terganggu, distres, takut atau bimbang),” katanya.

Beliau turut menegaskan Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan negara wajib dikibarkan dengan betul dan penuh penghormatan.

“Akan tetapi, perbuatan yang mengugut dan membuli, serta menimbulkan ketegangan bukanlah cara untuk menyelesaikan isu ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast