KUALA LUMPUR – Bendahari Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin sedia mencabar Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk merampas kerusi Parlimen Ampang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Shahrul Nasrun berkata, kejayaan gerak kerja beliau dan pasukannya menewaskan penyandangnya, Datuk Zuraida Kamaruddin hingga hilang deposit boleh dijadikan kayu pengukur kepada kepimpinan UMNO untuk mempertimbangkan hasratnya itu.
“Saya menawarkan khidmat sebagai calon Parlimen Ampang sekiranya diberi peluang dan mandat oleh Presiden UMNO untuk menentang Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu pada pilihan raya akan datang.
“Saya dan pasukan telah melaksanakan gerak kerja sehingga mantan Ahli Parlimen PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin tewas dan hilang deposit.
“Pengkhianatan mandat rakyat dengan bertukar parti telah menyebabkan berlakunya defisit kepercayaan dalam kalangan pengundi Ampang,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail mengingatkan pemimpin PKR agar tidak menggadaikan kerusi itu semata-mata untuk seorang individu susulan kemasukan Tengku Zafrul sebagai ahli PKR Cabang Ampang.
Menurut Rodziah Ismail, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat niat tertentu apabila PKR menerima masuk penyertaan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang juga Ketua Bahagian UMNO Kota Raja.
Dalam pada itu, Shahrul Nasrun berkata, rekod khidmatnya di Ampang bukan sekadar janji pilihan raya malah dibuktikan melalui pelbagai program kebajikan yang telah lama dilaksanakan secara konsisten.
“Saya tidak pernah mengharapkan sumbangan awam untuk membiayai inisiatif ini. Semuanya dilakukan kerana saya percaya khidmat kepada rakyat tidak boleh bergantung pada musim pilihan raya sahaja,” katanya.
Katanya lagi, jika gerak kerja Hebatkan Ampang diteruskan secara konsisten seperti sebelum ini, BN mampu mengembalikan sokongan majoriti pengundi di kerusi Parlimen Ampang pada PRU16 akan datang.
“Bagi saya, Hebatkan Ampang bukan sekadar slogan, bahkan ia adalah misi memartabat kebajikan rakyat, merapatkan jurang dan mengembalikan maruah Ampang sebagai kawasan progresif dan bersatu hati,” katanya.

Antara pengisian dalam program Hebatkan Ampang ialah sumbangan kewangan kepada semua sekolah rendah dan menengah di Ampang dan pemberian komputer riba kepada pelajar lepasan SPM yang melanjutkan pengajian.

Selain itu, beliau juga melakukan pemberian helmet ARC dan petrol percuma setiap bulan kepada rakan-rakan E-Hailing dan P-Hailing termasuk Grab, Foodpanda dan Lalamove.

Beliau turut membantu lebih 20,000 keluarga menerusi program kongsi rezeki dengan kotak makanan dan sumbangan kewangan kepada masjid, surau, kuil serta pelaksanaan pelbagai siri program komuniti.
Turut dijalankan bantuan kewangan dan makanan kepada ibu tunggal, anak yatim-piatu dan pelbagai institusi rumah kebajikan; 500 Hamper Kongsi Rezeki Sempena perayaan Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali.
Katanya lagi, setakat ini, seramai 1,500 Skuad Sukarelawan berdaftar dengan inisiatif Hebatkan Ampang terdiri kalangan anak muda berumur 18 hingga 40 tahun tanpa penyertaan mana-mana parti politik. – MalaysiaGazette
















