KUALA LUMPUR – Video tular di media sosial yang mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) jarang melakukan audit terhadap daging import Australia, adalah tidak berasas.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menegaskan, tuduhan tersebut mengandungi maklumat tidak tepat serta berpotensi mengelirukan orang ramai.
Jelasnya, semua proses dijalankan mengikut standard dan piawaian yang telah ditetapkan oleh kedua-dua negara, bagi menjamin hanya produk yang benar-benar halal sampai kepada masyarakat, khususnya umat Islam di Malaysia.
“Kerajaan Madani melalui JAKIM menegaskan bahawa video yang tular di media sosial dengan tajuk “JAKIM jarang audit daging import Australia, rakyat Malaysia termakan bangkai” merupakan rakaman lama dari tahun 2022 yang kembali ditularkan,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, jabatan itu mempunyai Pejabat Atase Halal di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Canberra, Australia yang bertanggungjawab melaksanakan pemantauan secara berjadual dan berterusan terhadap rumah sembelihan dan loji pemprosesan produk daging yang telah diluluskan serta diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Malaysia.
Katanya, Pihak berkuasa Australia iaitu The Department of Agriculture, Fisheries and Forestry (DAFF) turut menguatkuasa peraturan yang mengawal keseluruhan proses penyediaan daging halal untuk tujuan eksport. Hanya produk yang memenuhi peraturan eksport Australia serta mematuhi keperluan negara pengimport, termasuk syarat halal Malaysia, akan dibenarkan dieksport.
Menurut beliau, hanya produk daripada rumah sembelihan dan loji pemprosesan yang telah disahkan halal oleh badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf JAKIM, serta telah diaudit dan diperakui oleh DVS dan JAKIM, dibenarkan dieksport ke Malaysia.
“Proses sembelihan serta pemprosesan produk daging dan berasaskan daging yang dibekalkan atau dieksport ke Malaysia wajib mematuhi hukum syarak, Standard Malaysia (MS 1500) dan ‘Malaysian Protocol for the Halal Meat and Poultry Productions’, di samping mematuhi peraturan khusus negara pengeksport,” katanya menerusi kenyataan.
Tambah Sirajuddin, pemeriksaan menyeluruh dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia di pintu masuk negara yang menetapkan hanya produk yang sahih, lengkap, dan memenuhi semua syarat akan dibenarkan masuk ke pasaran tempatan.
“Semua dokumen termasuk Sijil Pengesahan Halal, ‘Consignment Note’ dan butiran pengimportan diperiksa secara terperinci,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya, serta merujuk sebarang isu berkaitan halal kepada pihak berkuasa yang berwibawa untuk pengesahan.-MalaysiaGazette
















