Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – MCA menegur pendekatan Kerajaan Madani yang disifatkan terlalu ketat dalam menguatkuasakan garis panduan berkaitan penggunaan dan paparan Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Ketua Pemuda MCA Selangor, Tan Jie Sen berkata, tindakan kerajaan mengetatkan peraturan serta memberi amaran keras terhadap pelbagai bentuk ekspresi bendera kebangsaan itu telah menimbulkan suasana kebimbangan dalam kalangan rakyat.

“Ramai kini bimbang bahawa kesilapan kecil sekalipun boleh membawa kepada tindakan undang-undang atau kecaman politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Jie Sen, semangat patriotisme tidak wajar dikekang dengan ancaman hukuman sebaliknya diraikan menerusi pelbagai bentuk ekspresi kreatif yang telah lama diamalkan rakyat Malaysia tanpa menimbulkan sebarang kontroversi.

Beliau turut mengimbas bagaimana paparan Jalur Gemilang pada mercu tanda ikonik seperti Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur dan Burj Khalifa di Dubai pernah diraikan dengan penuh kebanggaan pada era pentadbiran Barisan Nasional.

“Pada 2022, apabila Burj Khalifa diterangi Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan ke-65, rakyat merasai semangat perpaduan yang mendalam. Tiada siapa ketika itu mempertikaikannya sebagai tidak lengkap atau penyalahgunaan,” katanya lagi.

Namun tahun ini Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Penerangan telah memperkenalkan garis panduan baharu yang terlalu ketat termasuk larangan penggunaan warna bendera dalam format hitam putih serta penggunaannya pada pakaian, kek atau hiasan.

Beliau berkata, garis panduan sedemikian tidak selari dengan semangat keterbukaan dan kepelbagaian yang menjadi asas kepada patriotisme rakyat sejak sekian lama.

“Patriotisme tidak seharusnya dipolitikkan atau dibebani dengan ancaman undang-undang. Rakyat yang menzahirkan semangat kebangsaan melalui kreativiti melakukannya atas dasar cinta kepada negara, bukan untuk mencabar undang-undang,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut membidas tindakan sesetengah ahli politik yang didakwa menjadikan isu bendera sebagai sandiwara politik dengan menuduh pihak lain tidak patriotik.

Justeru, Pemuda MCA menggesa kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendekatan lebih rasional dan bertolak ansur dalam meraikan semangat kebangsaan.

“Penghormatan terhadap Jalur Gemilang mesti seiring dengan kebebasan rakyat untuk menzahirkan cinta kepada Malaysia, bukan membisukan mereka dengan ugutan,” tegasnya.

Tambah beliau, semangat patriotisme sejati bukan hanya dilihat pada kibaran bendera, tetapi pada usaha memastikan simbol kebangsaan itu terus hidup dalam hati rakyat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast