aeritren
Hari pertama operasi Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) diiringi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di KLIA, Sepang. Foto SADIQ SANI, 01 JULAI 2025

KUALA LUMPUR – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan menjalankan kerja penyelenggaraan malam yang dijadualkan pada sistem Aerotren selama dua minggu bermula 18 Ogos.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerja penyelenggaraan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan prestasi sistem berkenaan.

Katanya, ia akan dijalankan pada bukan waktu puncak iaitu dari 12 tengah malam hingga 5 pagi setiap hari bagi mengurangkan impak kepada penumpang.

“Sepanjang tempoh ini, perkhidmatan Aerotren akan dihentikan sementara dan bas ulang-alik di kawasan penerbangan akan disediakan bagi memastikan ketersambungan lancar di antara bangunan terminal utama dengan bangunan satelit,” menurut kenyataan berkenaan.

Sehubungan itu, pengendali lapangan terbang itu menasihatkan para penumpang yang melalui waktu tersebut supaya mengikuti papan tanda lapangan terbang dan arahan daripada kakitangan di lapangan.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, MAHB sedang mengambil langkah proaktif dengan memperhalusi sistem Aerotren berdasarkan data masa nyata dan maklumat berterusan yang dikumpul sejak pelancarannya.

“Kerja yang dijadualkan ini penting bagi memastikan sistem beroperasi dengan responsif yang optimum, keselamatan dan kebolehpercayaan jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata, KLIA juga sedang melabur dalam penambahbaikan teknikal lain seperti loji pencucian kenderaan automatik (AVWP) dengan AVWP baharu akan dioperasikan di atas landasan.

Jelasnya, pengoperasian AVWP baharu ini menandakan yang pertama untuk Aerotren KLIA bagi menggantikan kaedah pencucian manual sebelum ini.

“Penambahbaikan berterusan ini mencerminkan pendekatan kami yang proaktif dalam penyelenggaraan infrastruktur dan kualiti perkhidmatan.

“Kesemua inisiatif ini menegaskan tekad kami untuk memberikan pengalaman perjalanan yang lancar dan boleh dipercayai di KLIA,” katanya.

Sejak operasi bermula pada 1 Julai, Aerotren mengangkut lebih dua juta penumpang, mencatatkan lebih 1,100 jam perkhidmatan dan melengkapkan 18,800 perjalanan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast