Allahyarham Zara Qairina Mahathir

KUALA LUMPUR – Prosiding inkues berhubung kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir,13 telah ditetapkan untuk berlangsung bermula 3 September 2025 dan dijadualkan berlangsung selama 19 hari.

Tarikh penuh prosiding ialah pada 3,4, 8 hingga 12, 17 hingga 19 dan 22 hingga 30 September, sebagaimana ditetapkan oleh Koroner, Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz, dalam sebutan kes terbaru di Mahkamah Koroner, hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairus Johari, yang bertindak sebagai Pengendali Kes, memaklumkan bahawa sebanyak 195 saksi telah memberikan kenyataan mereka dan akan disenaraikan secara rasmi sebelum prosiding rasmi bermula.

Dalam satu sidang media, peguam yang mengetuai pasukan pembela, Hamid Ismail, turut mengesahkan jumlah sebenar 195 tersebut akan dipertimbangkan semula untuk memastikan hanya saksi relevan dipanggil semasa inkues nanti.

Menurut Hamid, selain ahli keluarga, guru, dan pelajar dari sekolah terlibat juga telah disenarai sebagai saksi.

“Hanya kami yang datang mewakili ahli keluarga dan kami mewakili ibu. Ibunya akan datang sebagai saksi yang akan dipanggil, sementara kami akan menyoal,” jelas beliau memetik laporan Sinar Harian Online.

Beliau menjelaskan, pasukannya kini memainkan peranan sebagai pemerhati, namun mereka telah menfailkan permohonan rasmi untuk menjadi pihak yang menyoal, bagi menyokong pihak pendakwaan dalam proses nanti.

Semalam, Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina,13, hari ini.

AGC dalam kenyataan semalam memaklumkan perkara demikian susulan permohonan dibuat Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta593).

Jabatan itu merujuk kepada kenyataan media AGC bertarikh 13 Ogos mengenai keputusan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya.

AGC memutuskan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha itu selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia berhubung kes itu pada 12 Ogos.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, di sini pada 17 Julai lalu selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah berkenaan pada pagi 16 Julai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast