GEORGE TOWN – Lebih 10 kompleks pendaratan ikan di seluruh negara dikenal pasti berada dalam keadaan uzur dan perlu dibaik pulih segera bagi memastikan kelancaran proses pendaratan hasil laut.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata, pihaknya berharap peruntukan bagi kerja-kerja pembaikan itu dapat dimasukkan dalam Belanjawan 2026 memandangkan sebahagian besar fasiliti berkenaan sudah lama rosak.
Antara lokasi yang dikenal pasti termasuk Chendering, Kemaman dan Dungun di Terengganu, Kota Tinggi di Johor serta Lumut, Perak.
“Kemudahan di kebanyakan kompleks terbabit sudah lama uzur, sekali gus menjejaskan kelancaran urusan pendaratan hasil laut.
“Nilai peruntukan sedang dikaji oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan ada yang telah diluluskan untuk kerja baik pulih,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Pulau Pinang di Kompleks Pendaratan Jelutong di sini.
Hadir sama Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim serta Pengarah Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Pertubuhan Nelayan LKIM, Norfajarwati Baharudin.
Pada majlis itu, sebanyak RM180,000 diperuntukkan bagi bantuan peralatan menangkap ikan kepada 230 nelayan, manakala 60 lagi menerima sumbangan Program Bantuan Bakul Makanan bernilai RM4,500.
Dalam pada itu, Muhammad Faiz turut menegaskan kepentingan kerajaan mengekalkan subsidi diesel bagi meringankan kos operasi nelayan selain meneruskan projek perumahan nelayan dalam belanjawan akan datang.
Untuk rekod, Belanjawan 2025 memperuntukkan RM2.78 bilion sebagai subsidi, bantuan dan insentif pesawah serta nelayan berbanding RM2.6 bilion pada 2024. Kadar siling bantuan rumah nelayan juga telah dinaikkan kepada RM84,000 di Semenanjung dan RM90,000 bagi Sabah dan Sarawak. – MalaysiaGazette
















