Gambar hiasan

CHINA – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di Xinjiang menghabiskan semua simpanan ibu bapanya selepas menggunakan telefon bimbit mereka untuk membeli hadiah kepada penstrim dalam talian.

Agensi berita di China melaporkan, pasangan tersebut terpaksa meminta campur tangan polis bagi mendapatkan semula wang berkenaan.

Menurut laporan tempatan, kanak-kanak itu kerap bermain dengan telefon bimbit ibu bapanya dan telah menghafal kata laluan pembayaran yang sering dimasukkan tanpa disorokkan.

Pada Mei lalu, dia secara tidak sengaja memasuki sebuah siaran langsung di platform media sosial dan menyedari penonton lain menghantar hadiah maya kepada hos.

Dia kemudian mula melakukan perkara sama, berulang kali memberi tip kepada penstrim sepanjang dua bulan.

Perbelanjaannya meningkat dengan cepat, sehingga dia menjadi “penyokong utama” di beberapa bilik siaran langsung.

Perkara itu hanya disedari apabila pasangan tersebut cuba membayar gaji pekerja, mereka mendapati baki bank hanya tinggal 25 yuan (RM14.71), manakala simpanan lebih 70,000 yuan (RM41183.64) habis sepenuhnya.

Terkejut dengan perkara itu, mereka membuat laporan kepada polis.

Pegawai polis menghubungi pasukan khidmat pelanggan platform berkenaan dan menjelaskan bahawa transaksi itu dibuat oleh seorang kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa.

Mereka juga membantu keluarga tersebut mendapatkan rekod transaksi rasmi daripada pihak bank sebagai bukti sokongan.

Hasil siasatan, platform itu mengesahkan pembayaran tersebut tidak sah dan bersetuju untuk memulangkan semula wang itu sepenuhnya. Pada 10 Ogos, sebanyak 71,803 yuan (RM42,244.41) telah dipulangkan ke akaun ibu bapa kanak-kanak tersebut.

“Apabila kami melihat jumlah wang yang dibelanjakan anak kami, rasanya seperti langit runtuh. Kami bekerja begitu keras untuk menyimpan wang itu,” kata ibu bapa kanak-kanak itu.

“Kami amat berterima kasih kepada pihak polis. Tanpa profesionalisme dan kegigihan mereka, mustahil kami dapat mendapatkannya semula,” katanya. -AGENSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast