Penyanyi rap Caprice

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan penyanyi rap Caprice menyimpan semua 31 hantaran yang didakwa memfitnah pempengaruh dan usahawan Asyraf Khalid, dalam arkib Instagramnya (IG).

Hakim Datuk Anand Ponnudurai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan injunksi ad-interim (sementara) secara ex-parte (sebelah pihak) yang dipohon Asyraf atau nama sebenarnya Muhammad Ashraf terhadap Caprice.

Dengan keputusan itu, segala penerbitan yang dikeluarkan oleh defendan (Caprice) berkaitan atau merujuk kepada subjek atau topik melibatkan plaintif (Asyraf) perlu diarkibkan bermula hari ini.

Peguam Abdul Hakeem Aiman yang mewakili anak tiri Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza itu berkata, mahkamah membenarkan injunksi ad-interim terhadap defendan sementara menunggu pelupusan permohonan injunksi inter-parte (dua pihak) yang akan didengar pada 2 September ini.

Beliau ditemui wakil media selepas prosiding pendengaran injunksi ex-parte yang berlangsung dalam kamar.

Pada masa sama, peguam itu turut memaklumkan setakat ini Caprice masih belum memfailkan pernyataan pembelaan bagi menjawab tuntutan saman tersebut.

Asyraf selaku plaintif telah memfailkan saman terhadap Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 39, yang dinamakan sebagai defendan pada 4 Ogos lalu.

Menurut peguamnya terdapat kenyataan fitnah yang diterbitkan di Instagram yang merujuk kepada video teaser (pra-penyiaran) yang akan diterbitkan anak guamnya.

Video teaser itu adalah menerusi poadcast (audio siar) yang mana hantaran berbaur fitnah itu diterbitkan sebanyak 31 kali menerusi platform defendan.

Terdahulu, Asyraf dalam satu sidang media memaklumkam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penyanyi Caprice susulan ‘serangan’ yang dilakukan terhadapnya dalam media sosial baru-baru ini.

Menurut Asyraf, segala tuduhan yang dilemparkan berhubung temu bual audio siar dengan seorang lelaki didakwa pernah mencederakan beberapa orang individu memberi impak sehingga mengganggu mental dan emosinya selain merosakkan reputasinya sebagai ahli perniagaan.

Kontroversi itu berlaku apabila Caprice menyelar tindakan Asyraf menjemput seorang lelaki didakwa pernah mencederakan beberapa orang individu ke program audio siar tersebut.

Caprice berang apabila individu yang didakwa pernah melakukan ugutan terhadap dirinya dan keluarga diketengahkan dalam podcast tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast