JOHOR BAHRU – Kementerian Pendidikan (KPM) mahu siasatan segera dilakukan terhadap murid 10 tahun yang menjadi mangsa buli rakan sekolahnya sehingga mengalami kemerosotan daya ingatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, pihaknya sudah mengumpul semua maklumat yang diperlukan mengenai kejadian buli tersebut yang berlaku di sebuah sekolah agama di Johor.
“Mangsa yang juga merupakan pesakit kanser hidung dilaporkan mengalami gegaran otak dan masih dirawat di hospital.
“Kita dah dapat maklumat dan kita akan ziarah (mangsa) dan kita juga akan selesaikan isu yang dibangkitkan keluarga tersebut,” katanya.
Aznan berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Citra Karisma 2025 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.
Hari ini, Ibu Kanak-kanak tersebut, Siti Suhana Misdi, 39, anaknya, Izzul Islam Azuan Isaidi kini sudah mula mengalami kemerosotan daya ingatan dipercayai akibat dua kejadian buli baru-baru ini.
“Sebelum ini dia memang cergas, aktif dan suka belajar namun kini kerap lupa dan hilang fokus.
“Sekiranya saya memintanya melakukan sesuatu dia lupa untuk melakukannya dan bertanya semula kepada saya.
“Misalnya saya menyuruhnya mengambil kain di dapur, dia akan ke dapur namun kemudian lupa tujuannya ke situ, perkara seumpama itu kerap berlaku kebelakangan ini.
“Kami khuatir masalah ini menjurus kepada memory lost (hilang ingatan) yang serius,” ujar suri rumah itu.
Semalam, portal ini melaporkan Izzul Islam mengalami masalah gegaran otak dipercayai selepas menjadi mangsa buli.
Siti Suhana berkata, anak lelakinya itu dipukul murid darjah enam pada 21 Februari lalu kerana pelaku berusia 12 tahun tidak berpuas hati dengan anak perempuan iaitu kakak mangsa menolak cintanya.
Menurutnya, kejadian berlaku pada pukul 5 petang di sebuah sekolah agama apabila anaknya ditendang, dihentak kepala bahagian kiri dan kanan serta dipaksa bogel.
Katanya, akibat kejadian itu, anak keempat daripada enam beradik itu dimasukkan ke hospital kerana kerap mengadu sakit kepala hingga keadaan tubuhnya menjadi lemah.
Anaknya disahkan mengalami gegaran otak dan dia hanya dimaklumkan kejadian itu oleh anak perempuannya pada 24 Mac lalu.
Lebih malang anaknya juga menjadi mangsa buli kali kedua pada 7 Ogos lalu di sebuah sekolah kebangsaan di Skudai di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh mengesahkan menerima laporan daripada ibu mangsa dan siasatan masih dijalankan.- MalaysiaGazette
















