KUALA LUMPUR – Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Hilman Idham mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menimbulkan kegentaran awam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu memohon dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amira Abd Aziz.
“Saya akan lawan dan minta dibicarakan,” kata Muhammad Hilman.
Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Hilman, 36, dituduh di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Hilman dalam satu hantaran di akaun TikTok alfah.channel.tv telah membuat kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam dan boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Kenyataan itu dilihat dan didengar oleh seorang anggota polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia, Menara KPJ, Jalan Tun Razak, pada pukul 2.09 petang, 30 Julai lalu.
Muhammad Hilman didakwa mengeluarkan kenyataan:
“Kepada Menteri Dalam Negeri, saya tahu bahawa Polis Diraja Malaysia tidak ingin menahan sahabat kami tetapi penahanan mereka adalah atas arahan Menteri Dalam Negeri. Tolong sampaikan wahai Polis Diraja Malaysia.
“Sampaikan kepada Menteri Dalam Negeri, kamu sedang mengajar kami, kamu sedang melatih kami. Lebih ramai sahabat kami ditangkap, lebih cepat kerajaan dan kamu akan kami tumbangkan daripada Kerajaan Persekutuan hari ini.”
Dalam pada itu, Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Badiuszaman Ahmad kemudiannya menawarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000.
Bagaimanapun, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammad Hilman memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama baik kepada pihak polis sepanjang proses siasatan.
“Tertuduh seorang ADUN yang dikenali rakyat Selangor dan Malaysia, tiada sebab untuk tertuduh melarikan diri.
“Saya cadangkan jaminan seharusnya pada kadar RM3,000 sahaja dengan seorang penjamin dan tanpa syarat lain kerana beliau perlu menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat,” katanya.
Selain Muhammad Rafique, tertuduh turut diwakili Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Zolazrai Zolkapli, Alias Rasman dan Afiqa Nardin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Oktober depan untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette
















