KUALA LUMPUR – Seramai 48 individu termasuk empat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diambil keterangan susulan kehilangan Datin Seri Pamela Ling setakat ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menculik dan melarikan seseorang dengan niat untuk mengurungnya secara sulit tanpa hak.
“Kes ini saya boleh kata masih dalam siasatan dan kertas siasatan sedang dilengkapkan oleh pegawai penyiasat sebelum akhirnya kita serahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan selanjutnya.
“Saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa polis akan menyiasat ke atas setiap laporan kes penculikan ataupun kehilangan orang mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa.
“Kita akan beri kerjasama rapat dengan lain-lain agensi penguatkuasaan termasuk SPRM bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan berkesan,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer bertanyakan kepada Menteri Dalam Negeri berkenaan perkembangan terkini siasatan ke atas kehilangan Pamela.
Sebelum ini, media melaporkan, Pamela dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, 9 April lalu.
Beliau dilaporkan hilang selepas menaiki perkhidmatan e-hailing dan dipercayai diculik oleh individu yang menyamar sebagai pegawai polis, yang menahan kenderaan yang dinaikinya.
Saifuddin juga berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan untuk mengesan Pamela bagi menyiasat kemungkinan dia melarikan diri ke luar negara melalui pintu sempadan negara di utara.
“Sebab itu, Yang Berhormat Jelutong, kenderaan yang dikatakan diguna pakai, kita temui nun di utara, di sempadan Bukit Kayu Hitam dengan Thailand, dan kita buat pemeriksaan dan sebagainya.
“Insiden itu berlaku di Putrajaya, kenderaan yang dipercayai belum disahkan, baru dipercayai diguna pakai kita temui di utara, jadi sudah tentu mengumpul maklumat di pintu sempadan, itu perlukan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Dalam skop siasatan, memang kita gunakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















